
LIMBANG: Penubuhan Pejabat Kecil Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Limbang merupakan langkah strategik dalam memperkukuh kecekapan, ketelusan serta keberkesanan perkhidmatan pendakwaan di daerah ini.
Peguam Negara Malaysia, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, berkata penubuhan pejabat berkenaan melambangkan kehadiran keadilan yang lebih dekat dengan rakyat, khususnya di kawasan utara Sarawak.
“Pembinaan prasarana baharu di Limbang ini menjadi simbol iltizam Jabatan Peguam Negara Malaysia dalam memastikan keadilan sentiasa terpelihara dan dapat dirasai oleh seluruh rakyat di utara Sarawak.
“Penubuhan Pejabat Kecil TPR Limbang ini adalah langkah strategik dan positif bagi memperkukuh kehadiran Jabatan Peguam Negara di wilayah utara Sarawak.
“Urusan pendakwaan akan menjadi lebih efisien dan cepat, selain pegawai kami kini lebih hampir kepada rakyat di kawasan ini,” katanya ketika merasmikan Pejabat TPR Limbang di sini, semalam.
Menurut Dusuki, kemudahan baharu ini amat diperlukan memandangkan sebelum ini pegawai-pegawai TPR di Limbang terpaksa menumpang ruang kerja serta berulang-alik dari Miri untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.
“Dalam keadaan serba terbatas sebelum ini, pegawai kita tetap menunaikan amanah dengan penuh dedikasi bagi memastikan rakyat menerima perkhidmatan perundangan terbaik,” tambahnya.
Turut hadir Ketua Bahagian Pendakwaan, Dato’ Masri Daud dan Pengarah Pendakwaan Negeri Sarawak, Aslinda Ahad.
Oleh Adeng Edrus