BINTULU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bintulu, melakukan semburan nyah kuman di pejabat Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Bintulu bagi tujuan mengekang penularan wabak Covid-19.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu Christus Buson berkata, jabatan terbabit terus komited untuk melakukan proses sanitasi awam.
“Operasi sanitasi bermula setelah semua kakitangan habis waktu kerja iaitu bermula jam 6.30 petang hingga 7.30 malam yang membabitkan tingkat bawah, satu dan dua pejabat itu di Bangunan Wisma Bintulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi berhubung operasi tersebut di sini semalam.
Menurutnya, seramai empat anggota bomba bersama enam orang dari unit kesihatan dari Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) serta dibantu oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Semburan dilakukan dengan menggunakan tin semburan manakala kandungan cecair sanitasi yang digunakan ialah clorox dan air dan anggota juga lengkap memakai alat perlindungan diri (PPE) termasuk sarung tangan dan pelitup hidung,” ujarnya.
Sementara itu, Penguasa Jabatan Tanah Bahagian Bintulu, Mohammad Zunica memberitahu bahawa operasi nyah kuman tersebut adalah bertujuan untuk memberi keyakinan kepada orang awam untuk berurusan dengan JTS Bintulu.
“Pihak jabatan sentiasa komited dalam memberi perkhidmatan walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang telah dilaksanakan pada 18 Januari hingga 31 Januari 2021 oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negari Sarawak (JBPNS),” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak KKM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Bintulu dan Lembaga Kemajuan Bintulu serta barisan hadapan jabatan kerana sentiasa memberi kerjasama dalam operasi tersebut demi memudahkan urusan tadbir urus JTS yang lebih efektif dan efisien kepada masyarakat.
Oleh ELLIE EDWARD