Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • MAHKAMAH
  • Peguam persoal ‘dua watak’ Shahrol Azral dalam kes 1MDB
  • MAHKAMAH

Peguam persoal ‘dua watak’ Shahrol Azral dalam kes 1MDB

Utusan Sarawak 12 hours ago
DATUK Seri Najib Razak.

PUTRAJAYA: Pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Razak hari ini menyifatkan sebagai “menakjubkan” bagaimana bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, mampu bertukar antara “dua topeng” ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi.

Peguam Najib, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin berkata “dua topeng” itu merujuk kepada dua peranan yang dimainkan Shahrol Azral — satu sebagai individu utama dalam rancangan jenayah ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, dan satu lagi sebagai pengarah 1MDB yang kononnya tidak mengetahui tindakannya sendiri.

“Lebih penting, ketika disoal balas oleh pihak pembelaan, beberapa pengakuan signifikan dibuat oleh Shahrol Azral, antaranya beliau dimaklumkan lebih awal oleh Jho Low bahawa surat cadangan akan diterima daripada syarikat pelaburan berdaulat Abu Dhabi, Aabar Investments PJS,” katanya.

Menurut Wan Azwan Aiman, Shahrol Azral tidak pernah menghubungi sendiri pegawai perantara yang dikenali sebagai Tam Cheok Wing, sebaliknya menyerahkan tugas itu kepada pasukan hartanah atau pasukan pelaburan 1MDB — yang sehingga kini tidak dikenal pasti — untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Malah, beliau langsung tidak berusaha mengenal pasti siapa Tam Cheok Wing. Shahrol Azral juga mengaku tidak pernah berhubung secara langsung dengan CEO Aabar ketika itu, Mohammed Badawy Al-Husseiny, dan menyerahkan sepenuhnya kepada Jho Low, rakannya, untuk mengatur serta menyelaras urusan dengan pihak Aabar,” katanya.

Wan Azwan Aiman berkata Shahrol Azral turut menyatakan beliau tidak bimbang jika surat tersebut sebenarnya disediakan oleh Jho Low, malah berkata, “Ia tidak memberi kesan kepada saya, jika betul sekalipun.”

“Berdasarkan pengakuan ini, adalah tidak munasabah untuk menolak kemungkinan bahawa Shahrol Azral sebenarnya sehaluan dengan Jho Low.

“Daripada pemindahan dana bernilai berbilion ringgit secara tidak sah kepada Jho Low, surat-menyurat rahsia antara mereka hingga keengganan mematuhi arahan Lembaga Pengarah 1MDB — semuanya menjadi alasan kukuh untuk meragui setiap kenyataan Shahrol Azral,” katanya.

Prosiding hari ini merupakan hari kelima hujahan lisan pihak pembelaan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah dalam perbicaraan membabitkan 25 pertuduhan terhadap Najib berkaitan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion.

Pada 6 Mei lepas, pasukan pembelaan menutup kes selepas memanggil 26 saksi dan mahkamah menetapkan sembilan hari bermula 21 Oktober bagi mendengar hujahan lisan.

Najib, bekas Perdana Menteri berusia 72 tahun, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya ketika itu untuk mendapatkan suapan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014, manakala bagi pertuduhan pengubahan wang haram pula antara 22 Mac dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, denda hingga RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Najib kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Perbicaraan bersambung esok.- Bernama

Continue Reading

Previous: Penganggur dipenjara tiga bulan, denda RM1,000 kerana curi perkakasan ibadat di kuil
Next: Pelajar lihat individu berbaju ‘Hanafi’ dalam tandas sebelum kematian Zara Qairina – Inkues

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.