
BINTULU: Seorang pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu, direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes menerima rasuah berjumlah RM18,600.
Perintah reman terhadap suspek lelaki berusia 41 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Galvin Loo Wei Ling selepas membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Bintulu.
Suspek disyaki meminta dan menerima wang rasuah secara dalam talian melalui akaun beberapa individu sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap pengadu, antara 2021 hingga 2024.
Difahamkan, suspek ditahan SPRM sekitar 6.20 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Bintulu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Permohonan reman dikendalikan oleh pegawai penyiasat SPRM, manakala suspek diwakili seorang peguam.