KUCHING: Seorang pegawai polis dari Cawangan Khas bersubahat menyeludup masuk Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditangkap oleh Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak dalam satu operasi di Tebedu, Serian.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata semasa tangkapan pada minggu lalu pegawai berkenaan ditemui bersama dua warga Indonesia yang didapati tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.
Aidi memberitahu pegawai berusia 45 tahun yang bertugas di Serian kini masih ditahan Jabatan Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“Kita belum menerima butiran lanjut mengenai tangkapan pegawai berkenaan namun kita memandang serius perkara ini serta turut akan melakukan siasatan untuk memastikan tiada anggota atau pegawai kita yang bersekongkol,” ujarnya.
Aidi berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyematan Pangkat Pegawai Kanan Polis Kontinjen Sarawak dan Penyerahan Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2019 kepada Ketua Jabatan dan Ketua Polis Daerah dan Anugerah Pengurusan Perumahan Terbaik PDRM 2019 di Mes Pegawai Kanan IPK Sarawak, Jalan Badaruddin di sini semalam.
“Pihak Polis tidak akan berkompromi dengan pegawai dan anggotanya yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan atau melindungi PATI,” tegasnya mengakui pemantauan rapi dijalankan terhadap semua pegawai dan anggota terutama yang bertugas di sempadan.
Tujuan itu kata Aidi bagi membendung mereka terjebak dalam aktiviti bersekongkol berkenaan.
Dalam pada itu, Aidi menegaskan Op Benteng yang dijalankan di sempadan diberi tumpuan agar usaha mengekang kemasukan PATI ke Sarawak dapat dibanteras sepenuhnya.
Bercakap mengenai penularan berita palsu mengenai pandemik Covid-19 Aidi menasihati orang ramai agar tidak terlibat.
“Setakat hari ini (semalam) satu laporan polis dibuat berkaitan berita palsu berhubung Covid-19 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” ujarnya.
Pihak polis katanya menasihatkan agar perkara itu tidak berlaku dan juga jangan menyebarkan berita palsu kerana tindakan tegas akan diambil.
Terdahulu, Aidi menyemat pangkat kepada pegawai kanan dengan seorang daripadanya Senior Asisten Komisioner (SAC), 3 orang Asisten Komisioner (ACP), 4 orang Superintendan dan 20 orang Deputi Superintendan.
Oleh Diyana Samsuddin