Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Pegawai majlis Eropah puji reformasi keselamatan
  • SEMASA

Pegawai majlis Eropah puji reformasi keselamatan

Utusan Sarawak 15 hours ago
KETUA Setiausaha Kementerian Digital Fabian Bigar (dua kanan) menyaksikan Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara (Keselamatan Strategik) MKN, Datuk Baharuddin Ahmad (tiga kiri) menyampaikan penghargaan kepada Head of the Cybercrime Division of the Council of Europe, Alexander Seger (kanan) pada majlis perasmian pembukaan Cyber Games 2025 hari ini.Turut sama, Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara, Ir. Dr. Megat Zuhairy Megat Tajuddin (dua kiri) dan INTERPOL’S Director of the Cybercrime Directorate, Dr. Neal Jetton (kiri). FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR: Komitmen dan ketelusan Malaysia dalam menangani jenayah siber menerima pujian daripada Ketua Bahagian Jenayah Siber Majlis Eropah Alexander Seger yang yakin negara ini jauh lebih bersedia berbanding apa yang disangkakan.

Bercakap kepada Bernama pada acara Cyber Games 2025 yang berlangsung di sini, Seger menyambut baik pendekatan proaktif Malaysia dalam memperkukuh rangka keselamatan siber melalui reformasi undang-undang, termasuk penggubalan Akta Keselamatan Siber serta rundingan yang sedang berlangsung berkaitan Rang Undang-Undang Jenayah Siber.

“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, saya melihat kesungguhan luar biasa pihak berkuasa Malaysia dalam memperkukuh usaha mereka.

“Saya menghargai keterbukaan pihak berkuasa di sini. Tidak semua kerajaan bersedia untuk membincangkan draf perundangan secara terperinci. Ketelusan ini wajar dipuji,” katanya.

Seger yang telah berkecimpung dalam dasar jenayah siber selama lebih dua dekad berkata Malaysia mempunyai kepakaran teknikal dan keupayaan institusi untuk memainkan peranan lebih aktif di peringkat antarabangsa, khususnya dalam perjanjian pelbagai hala seperti Konvensyen Budapest.
“Selama bertahun-tahun, pihak berkuasa Malaysia tidak pasti sama ada mampu menyertai Konvensyen Budapest kerana kekurangan keupayaan, tetapi saya melihat Malaysia berada dalam kedudukan yang baik berbanding kebanyakan negara lain,” katanya.

Konvensyen Budapest yang juga dikenali sebagai Konvensyen Jenayah Siber dibuka untuk ditandatangani pada 2001 dan kekal sebagai satu-satunya perjanjian antarabangsa yang mengikat secara sah, khususnya untuk menangani jenayah siber.

Seger berkata memandangkan ancaman siber sentiasa berubah-ubah maka kerjasama global, reformasi undang-undang dan peningkatan kesedaran awam telah menyumbang secara signifikan dalam mengurangkan kesannya.

“Daripada berjuta-juta serangan siber yang berlaku setiap hari hanya sebilangan kecil berjaya. Ini menunjukkan bahawa sistem masih berfungsi,” katanya.

Beliau berkata jenayah siber bukanlah fenomena baharu, dengan merujuk kepada minat dalam kalangan ahli akademik dan pembuat dasar yang telah wujud sejak beberapa dekad yang lepas.

“Tesis sarjana pertama mengenai jenayah siber di Jerman dihasilkan pada 1973, diikuti dengan tesis PhD pada 1977. Majlis Eropah mula menangani jenayah berkaitan komputer pada awal 1980-an, dan menjelang 1990-an tumpuan beralih kepada bukti elektronik,” katanya.

Seger turut memuji kepimpinan serantau Malaysia dalam bidang keselamatan siber, dengan merujuk kepada peranan selaku tuan rumah Cyber Games 2025.

Acara itu menghimpunkan 120 peserta dari 40 negara, termasuk United Kingdom, Switzerland, Korea Selatan, Jepun, Hong Kong, Qatar, Maghribi, Ukraine, Turkiye, Chile, Brazil, Armenia, Albania, Vietnam, Laos, Thailand dan Singapura.– Bernama

Continue Reading

Previous: PM lancar ‘RIBAT’ HMLTV pertama keluaran negara
Next: DUN: Sarawak perkukuh undang-undang biodiversiti, RUU 2025 diluluskan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.