SEREMBAN: Seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 10 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM7,600 antara 2018 hingga 2022.
Razali Ahmad, 41, yang kini bertugas sebagai Penolong Penguasa Imigresen di Unit Persenjataan, Bahagian Penguatkuasaan membuat pengakuan tersebut sebaik kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Mengikut pertuduhan, Razali yang pada waktu kejadian bertugas di Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan di Ibu Pejabat JIM Putrajaya, didakwa menerima wang keseluruhan RM7,600 daripada seorang individu melalui pindahan wang dalam talian ke akaun miliknya serta mengetahui individu tersebut mempunyai hubungan dengan tugas rasminya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah cawangan bank di Nilai antara 25 Dis 2018 hingga 7 Jun 2022 dan beliau didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rifah Izzati Abdul Mutalif manakala tertuduh diwakili peguam Low Carmen.
Terdahulu, Rifah Izzati memohon mahkamah menawarkan jaminan RM10,000 dengan syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan dan pasport tertuduh disimpan mahkamah sehingga kes selesai.
Low kemudian meminta mahkamah mengenakan wang jaminan paling minimum atas alasan anak guamnya hanya berpendapatan kasar RM4,200 sebulan selain perlu menyara isteri dan empat anak serta ibu mertua berusia 64 tahun.
“Dia juga perlu menanggung perbelanjaan keluarga yang tinggi. Selain itu, syarat tambahan pasport diminta dikecualikan kerana sebagai ketua Unit Persenjataan, beliau perlu ke luar negara dalam tempoh dua ke tiga kali setahun untuk menguji peluru,” katanya.
Meor Sulaiman kemudian membenarkan wang jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat SPRM Putrajaya setiap bulan serta pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen ditetapkan pada 23 Julai ini. – Bernama