Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Penjawat awam di Wilayah Persekutuan dan semua ibu negeri layak BDR tiga hari seminggu, beberapa sektor dikecualikan
  • SEMASA

Penjawat awam di Wilayah Persekutuan dan semua ibu negeri layak BDR tiga hari seminggu, beberapa sektor dikecualikan

Utusan Sarawak 7 hours ago
GAMBAR hiasan.

PUTRAJAYA: Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan yang berkhidmat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan semua ibu negeri dengan jarak perjalanan sehala ke pejabat melebihi lapan kilometer layak melaksanakan dasar Bekerja dari Rumah (BDR) mulai 15 April ini.

Ketetapan itu dinyatakan dalam surat edaran “Pelaksanaan Bekerja Dari Rumah bagi Perkhidmatan Awam berikutan Konflik Asia Barat” bertarikh hari ini, yang ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

“Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (PPSM) Ceraian SR.4.1.2: Dasar Bekerja dari Rumah (BDR) telah memperuntukkan dasar, syarat dan peraturan BDR.

“Pelaksanaan BDR secara berperingkat adalah langkah strategik kerajaan bagi memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat,” menurut surat edaran itu.

Surat edaran itu memaklumkan beberapa sektor dikecualikan, termasuk perkhidmatan keselamatan dan pertahanan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Penjara Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) serta Jabatan Imigresen Malaysia.

Sektor kesihatan yang memberikan perkhidmatan kritikal, termasuk pegawai perubatan, pegawai farmasi, pegawai pergigian dan jururawat, selain pegawai pendidikan yang terlibat dengan sesi persekolahan turut dikecualikan.

“Bagi sektor lain yang layak, Ketua Jabatan bertanggungjawab menentukan perkhidmatan penting dan menyusun jadual BDR mengikut keperluan operasi manakala tempat bekerja semasa BDR ditetapkan di rumah yang didaftarkan dalam Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS),” menurut surat edaran itu.

Pegawai dikehendaki menggunakan sistem SPOT-Me untuk perekodan kehadiran secara elektronik dengan fungsi geolokasi setiap jam, sementara Ketua Jabatan memantau keberadaan dan output kerja pegawai secara berkala.

Hari BDR ditetapkan mengikut negeri dan hari kelepasan mingguan (HKM).

“Negeri yang HKM pada Ahad menjalankan BDR dari Selasa hingga Khamis manakala negeri yang HKM pada Jumaat menjalankan BDR dari Isnin hingga Rabu,” menurut surat edaran itu.

Surat edaran itu turut dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan untuk pelaksanaan selaras arahan kerajaan.

Sebarang pertanyaan mengenai sistem SPOT-Me boleh dirujuk kepada Elisah Satim dan Nor Asmizan Mohamad di Jabatan Digital Negara.

-Bernama

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Kerajaan perketat kawalan tenaga di bangunan kerajaan – Fadillah
Next: Premier Sarawak hadiri Mesyuarat Khas Menteri Besar dan Ketua Menteri di Putrajaya

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.