Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Pedro wira Chelsea mara ke final Piala Dunia Kelab
  • SUKAN

Pedro wira Chelsea mara ke final Piala Dunia Kelab

Utusan Sarawak 7 hours ago

Pertahanan Fluminense, Ignacio (kanan) mengekang kemaraan pemain Chelsea, Moises Caicedo. – Foto AFP

EAST RUTHERFORD, Amerika Syarikat: Pemain baharu, Joao Pedro meledak dua gol pada penampilan sulungnya dalam kesebelasan utama Chelsea membantu pasukan itu menang selesa 2-0 ke atas Fluminense awal pagi tadi, sekali gus melayakkan diri ke final Piala Dunia Kelab.

Penyerang Brazil itu membuka tirai jaringan dengan penyudah klinikal pada minit ke-18 dalam aksi separuh akhir di Stadium MetLife, sebelum menambah satu lagi gol sebelum sejam.

Chelsea kini akan berdepan sama ada Real Madrid atau Paris Saint-Germain pada final awal pagi Isnin depan.

Pedro, 23, yang baru ditandatangani dari Brighton minggu lalu dengan bayaran dilaporkan sekitar £60 juta (RM345 juta), memendekkan percutiannya untuk membuat penampilan sulung sebagai pemain gantian ketika kemenangan suku akhir ke atas Palmeiras.

Dia kemudiannya diberi peluang sebagai pemain utama menggantikan Liam Delap yang digantung perlawanan.

Pedro tidak meraikan mana-mana golnya sebagai tanda hormat kepada Fluminense, kelab yang pernah diwakilinya dengan membuat 36 penampilan dalam pasukan utama sebelum berpindah ke England bersama Watford pada tahun 2020.

Keputusan itu menamatkan kempen mengagumkan Fluminense pada kejohanan itu.

Juara Copa Libertadores 2023 itu sebelum ini seri dengan Borussia Dortmund di peringkat kumpulan, menewaskan Inter Milan pada pusingan 16 terakhir sebelum menyingkirkan Al-Hilal – pasukan yang menumpaskan Manchester City – pada suku akhir.

Dengan kekalahan itu, peluang kelab Amerika Selatan untuk memenangi edisi sulung Piala Dunia Kelab dengan 32 pasukan turut berkubur.

Chelsea pula mencatat kemenangan berturut-turut ke atas kelab Brazil untuk mara ke final.

Seperti dijangka, trofi kali ini hampir pasti akan dimenangi salah satu kuasa besar bola sepak Eropah, dengan dua pasukan terakhir merupakan antara lima juara terakhir Liga Juara-Juara UEFA.

“Ia adalah pencapaian yang hebat. Musim ini amat luar biasa – kami berakhir dalam kelompok empat teratas liga, menang Liga Konferens dan kini mara ke final kejohanan ini. Kami amat gembira,” kata jurulatih Chelsea, Enzo Maresca kepada badan penyiar DAZN.

“Akhirnya ia adalah perlawanan terakhir musim ini dan harapnya kami dapat menamatkannya dengan kejuaraan.”

Jurulatih Fluminense, Renato Portaluppi sebelum ini menyifatkan pasukannya sebagai “itik hodoh” pada kejohanan ini disebabkan jurang besar dari segi bajet berbanding tiga pasukan lain.

Namun, perlawanan ini ternyata satu langkah terlalu jauh buat pasukannya yang diketuai oleh bekas pemain Chelsea berusia 40 tahun, Thiago Silva.

“Ini adalah kejohanan Piala Dunia Kelab yang menakjubkan,” kata Portaluppi.

“Tiada gunanya menangisi susu yang tertumpah. Kami mahu ke final buat penyokong kami, tetapi kami pulang dengan penuh bangga dan lebih kuat berbanding sebelumnya.”

Chelsea turun tanpa Levi Colwill dan Delap yang digantung, namun Moises Caicedo kembali selepas menjalani penggantungan.

Kelab Liga Perdana Inggeris itu jelas terlalu kuat buat lawan mereka pada perlawanan yang disaksikan oleh 70,556 penonton pada petang yang panas berhampiran bandar New York. – AFP

Continue Reading

Previous: Spaoh A juara Hoki 12 Tahun Kebawah MSSB Betong

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.