SARIKEI: Pedagang lada memainkan peranan penting dalam memastikan hasil komoditi dari kebun dapat bergerak melalui rantaian perdagangan sebelum dipasarkan kepada pengguna, sekali gus menjadikan pematuhan terhadap peraturan perdagangan sebagai aspek yang tidak boleh dipandang ringan.
Menurut kenyataan media Lembaga Lada Malaysia (MPB), perkara itu menjadi antara fokus utama Sesi Libat Urus Bersama Pedagang Lada Berkenaan Peraturan Pelesenan dan Penggunaan Petunjuk Geografi (GI) Lada Sarawak yang diadakan di Pejabat MPB Sarikei, semalam.
Sesi berkenaan menghimpunkan 16 wakil terdiri daripada pedagang, pengeksport dan peraih lada di Daerah Sarikei bagi membolehkan mereka mendapatkan penjelasan secara lebih dekat mengenai peraturan yang berkait langsung dengan aktiviti perdagangan.
Pertemuan itu turut memberi ruang kepada pedagang mengemukakan persoalan serta mendapatkan penjelasan berhubung perkara berkaitan pelesenan, khususnya isu yang timbul dalam urusan perdagangan harian mereka.

Pendekatan secara libat urus berkenaan dilihat lebih berkesan kerana peraturan tidak hanya disampaikan secara sehala, sebaliknya dibincangkan bersama pemain industri bagi memastikan kefahaman yang lebih jelas dapat dicapai.
Selain pelesenan, penggunaan Petunjuk Geografi (GI) Lada Sarawak turut menjadi antara perkara utama yang dibincangkan dalam sesi tersebut.
Pemahaman mengenai GI penting bagi memastikan identiti Lada Sarawak digunakan dengan betul serta selaras dengan tanggungjawab yang perlu dipatuhi oleh pihak yang terlibat dalam rantaian perdagangan.
MPB melalui sesi berkenaan turut berperanan sebagai pemudah cara dengan menghubungkan keperluan kawal selia dengan realiti operasi pedagang di lapangan.
Usaha sedemikian diharap dapat membantu mewujudkan rantaian perdagangan lada yang lebih teratur, telus dan mematuhi peraturan, di samping terus memelihara integriti serta reputasi industri lada Sarawak di pasaran.
Oleh Adi Safarman




