SEJAK kebelakangan ini timbul isu monopoli dalam pelbagai sektor berbentuk perniagaan di negara kita. Perkhidmatan atau barangan ditawarkan syarikat tunggal selama ini antara faktor orang ramai terpaksa menanggung kos tinggi disebabkan tidak mempunyai pilihan lain.
Ada yang kata, monopoli boleh dilaksanakan, namun kerajaan perlu memendekkan tempoh yang diberikan kepada sesebuah syarikat bagi membenarkan persaingan. Kerajaan juga perlu mengkaji beberapa lagi perniagaan monopoli seperti dalam pengimportan makanan, perkhidmatan liputan rangkaian 5G, pembekalan ubat, perkhidmatan kerajaan secara dalam talian dan televisyen berbayar bagi mewujudkan persaingan lebih baik serta adil kepada rakyat.
Contohnya dalam bidang penyiaran. Sejak 28 Disember 1963 dan selama 33 tahun kemudian, rakyat Malaysia menikmati siaran televisyen percuma bermula dengan siaran hitam putih (hingga 1978 beralih kepada televisyen warna) melalui RTM. RTM ketika itu satu-satunya penyiaran televisyen sehinggalah TV3 dilancarkan dan bersiaran pada 1 Jun 1984 iaitu stesen televisyen swasta terestrial pertama negara dengan slogan Berita Terkini Hiburan Sensasi.
Sejak itu monopoli RTM melalui saluran TV1 dan TV2 berakhir. Namun, ia bukan menjadi isu sangat kerana perkhidmatan televisyen adalah percuma. Cuma orang ramai tiada pilihan.
Kemudian, muncul perkhidmatan televisyen bersatelit dan radio berbayar pertama negara iaitu Astro di Malaysia pada 1 Jun 1996 (33 tahun setelah saluran TV pertama negara diwujudkan) diasaskan oleh jutawan Ananda Krishnan.
Astro pada mulanya menawarkan 22 saluran televisyen dan kini Astro mempunyai lebih 160 saluran TV dan stesen radio, dan juga 25 saluran HD, turut berkembang di beberapa negara jiran Asia Tenggara.
Dengan banyak siaran dan satu-satunya televisyen berbayar, maka Astro memonopoli siaran televisyen tempatan. Tiada saingan berlaku. Ada yang mendakwa bayaran agak mahal selain tayangan siaran berulang-ulang.
Oleh itu, kerajaan perlu menawarkan lesen penyiaran secara terbuka kepada sesiapa saja atau mana-mana syarikat yang berminat membuka siaran televisyen berbayar. Ini bagi membolehkan saingan dalam bidang penyiaran.
Astro adalah contoh monopoli dalam siaran televisyen kerana setakat ini belum ada pesaing dalam erti kata sebenar. Sebab itu, bila Astro menaikkan langganan termasuk segmen tertentu seperti saluran sukan, kita terpaksa melanggan sebab tiada pilihan, tetapi kini sudah banyak jalan keluar.
Kini, ramai juga yang beralih kepada smart tv, dan boleh menonton apa sahaja yang diminati termasuk Netflix.
Pakar ekonomi, Prof Datuk Dr Shazali Abu Mansor, berkata perkhidmatan tidak strategik seperti perkhidmatan kerajaan dalam talian dan televisyen berbayar perlu dikaji semula sebagai langkah meningkatkan mutu dan memberikan perkhidmatan yang berpatutan. Katanya, ketiadaan pilihan menyebabkan ada syarikat monopoli mengambil kesempatan ke atas pengguna.
“Mengambil contoh tayangan cerita dipertontonkan oleh stesen televisyen berbayar adalah sama dan berulang-ulang, sedangkan pelanggan membayar mahukan sesuatu yang setimpal dengan bayaran dikenakan,” katanya.
Selain monopoli syarikat tertentu, kerajaan juga perlu menyiasat penubuhan sesuatu konsortium atau kartel yang cenderung bersifat manipulatif serta ‘berkuasa’ mengawal pasaran.
Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) boleh mendedahkan senarai syarikat dikesan memonopoli sektor tertentu, supaya tindakan boleh diambil antaranya memecahkan monopoli mereka dalam pasaran demi kepentingan rakyat.
Tidak kira konsortium atau syarikat macam mana sekalipun, pastikan ia tidak ada kawalan khususnya dari segi harga dan tidak membesar sampai ia boleh menetapkan harga pasaran. Jika ada persaingan, ia tidak boleh tetapkan harga.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan akan mengkaji semula semua syarikat yang menikmati monopoli pada masa lalu sebagai usaha memastikan perkhidmatan ditawarkan lebih berdaya saing antara mereka. Katanya, semua kementerian sudah diminta mengkaji syarikat monopoli sedia ada di bawah bidang kuasa mereka dalam menggalakkan pembangunan ekonomi yang telus serta persaingan yang adil.
Antaranya ialah monopoli yang dipegang oleh Touch ‘n Go (TnG) sejak 1997. TnG sudah beroperasi selama kira-kira dua dekad, tetapi tidak ada sebarang kemajuan yang meyakinkan.
Sementara itu, portal berita FMT memetik Prof Dr Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) sebagai berkata, monopoli dalam makanan, pengimportan beras, perkhidmatan liputan rangkaian 5G dan pembekalan ubat-ubatan perlu dipecahkan.
“Ini antara yang perlu dipecahkan oleh kerajaan kerana ia menyebabkan pengguna dikenakan kos yang tidak berpatutan,” katanya. Dr Williams berkata, tindakan memecahkan monopoli bagaimanapun tidak boleh dibuat dalam jangka masa pendek atau tergesa-gesa. “Ia mesti menjadi sebahagian usaha holistik untuk mengukuhkan lagi dasar antipersaingan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia dan Kementerian Ekonomi,” katanya.
Bagaimanapun, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dilaporkan sebagai berkata bahawa kerajaan dijangka membuat keputusan berhubung pelancaran rangkaian mudah alih teknologi 5G yang dikatakan dimonopoli Digital Nasional Bhd (DNB) dalam tempoh terdekat. “Kita mungkin tidak hanya melihat dari sudut monopoli. Banyak perkara yang perlu kita pertimbangkan,” katanya.
DNB milik kerajaan dilantik untuk membina dan menguruskan infrastruktur rangkaian 5G dan ia merupakan pembekal borong perkhidmatan 5G kepada pengendali rangkaian mudah alih.
Syarikat itu dikritik atas dakwaan memonopoli perkhidmatan 5G dan berdepan cabaran untuk mendapatkan pengendali rangkaian menyertai pelancaran infrastruktur 5G. Maxis, syarikat telefon mudah alih kedua terbesar dalam negara, belum bersetuju untuk rangkaian 5G DNB.
Kerajan juga baru-baru ini mengumumkan akan menamatkan monopoli syarikat tunggal yang dilantik oleh kerajaan dalam menjalankan pemeriksaan mandatori ke atas kenderaan secara komersial mahupun persendirian iaitu Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).
Sebaliknya seperti kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor yang diwajibkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan dibuka kepada pihak berkelayakan dan memenuhi syarat ditetapkan selepas konsesi semasa kepada PUSPAKOM tamat pada 31 Ogos 2024.
Katanya, perkara itu diputuskan Jemaah Menteri pada 17 Mac lalu menyaksikan tiada lagi monopoli PUSPAKOM sebagai penyedia pemeriksaan berkala kenderaan motor berkuat kuasa 1 September 2024.
Semua itu adalah langkah baik untuk memecah amalan monopoli, yang sesetengah syarikat itu dipercayai menjadi kroni. Apa yang kita mahu ialah kos bayaran perkhidmatan lebih murah, berpatutan dan tidak diambil kesempatan oleh syarikat monopoli sesuka hati.
- Penulis adalah penasihat Editorial Eksekutif UtusanSarawak.