
SIBU: Seorang lelaki yang bertindak memecahkan cermin belakang sebuah van, selepas dimarahi oleh isterinya dijatuhi hukuman denda RM5,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Dickson Seli, 30, dijatuhi hukuman itu setelah mengaku bersalah terhadap pertuduhan di hadapan Majistret Romario Jonoi.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan memecahkan cermin belakang sebuah van di Jalan Oya pada 23 Mac 2026, sekitar jam 12.45 pagi, yang menyebabkan kerugian sebanyak RM500.
Sehubungan itu, Dickson didakwa melakukan kesalahan yang dihukum di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, dimana sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang setahun serta tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Mengikut fakta kes, pengadu ketika kejadian sedang berada di tempat parkir rumahnya di Jalan Oya apabila seorang lelaki iaitu tertuduh telah datang dan masuk ke tempat parkir rumah sebelah.
Tidak lama kemudian, pengadu terdengar bunyi cermin pecah dan tertuduh dilihat melarikan diri dari tempat kejadian. Ketika diperiksa, pengadu mendapati cermin belakang van miliknya telah pecah.
Pengadu kemudian menghubungi tertuduh sekitar jam 1.00 pagi, dimana tertuduh mengaku memecahkan cermin van tersebut.
Siasatan yang dijalankan mendapati pengadu adaah majikan kepada tertuduh, selain kedua-dua mereka mempunyai pertalian keluarga.
Tertuduh memberitahu bertindak menumbuk cermin belakang van itu menggunakan tangan bagi melepaskan amarah setelah menerima panggilan daripada isterinya, yang memarahinya ketika itu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP Sokolinkam Changgan sementara tertuduh yang tidak diwakili peguam, gagal membayar denda tersebut.
Oleh Akun Giman