KUALA LUMPUR: Beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah mengalami kekalahan teruk hari ini selepas tumpas kepada gandingan bukan pilihan Sumire Nakade-Miyu Takahashi dari Jepun dalam perlawanan straight set pada final Terbuka Taiwan 2026.
Walaupun turun sebagai pilihan utama dan beregu nombor lima dunia, Pearly-Thinaah sukar mengatasi cabaran penuh bersemangat pasangan Jepun yang berada dalam kedudukan ke-71 dunia itu setelah tewas 16-21 pada set pertama.
Perlawanan selama 40 minit itu menyaksikan set kedua yang lebih sengit apabila Pearly-Thinaah bangkit menyamakan kedudukan 18-18 dalam usaha untuk mengheret perlawanan ke aksi penentuan.
Bagaimanapun, Nakade-Takahashi tetap tenang dan berjaya meraih tiga mata berturut-turut untuk memenangi set kedua 21-18, sekali gus memastikan kemenangan dalam straight set.
“Saya rasa beregu Jepun bermain dengan sangat baik ketika menyerang kami, terutamanya dengan memberikan tekanan berterusan, jadi ketika bertahan, keadaan itu benar-benar memberikan kesan kepada saya dan perkara ini perlu saya baiki,” kata Thinaah dalam rakaman suara yang dikongsikan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini.
Sementara itu, Pearly berkata mereka akan mengambil banyak perkara positif dalam perlawanan itu menjelang Kejohanan Dunia 2026 dan mereka juga semakin menemui semula rentak permainan dan menambah baik pergerakan di gelanggang.
Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa keadaan fizikal mereka perlu dipertingkatkan dan akan memberikan tumpuan pada aspek tersebut sebaik pulang ke tanah air untuk membuat persiapan menghadapi kejohanan dunia.
Aksi kali ini merupakan penampilan kedua Pearly-Thinaah di pentas final tahun ini selepas muncul juara dalam kejohanan Indonesia Masters pada Januari. – Bernama



