KUCHING: Pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Timbalan Ketua Polis Negara Dato’ Pahlawan Mazlan Mansor menegaskan, kompaun dan tindakan akan dikenakan terhadap individu yang sengaja ‘tuli’ dengan arahan yang telah ditetapkan selama ini.
“Mengikut statistik, saban hari jumlah kompaun dan tindakan semakin meningkat.
“Tidak ada lagi amaran serta nasihat akan diberikan, sebaliknya pihak kami akan segera mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang didapati melanggar PKPP,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyampaian Surat Penghargaan Ketua Polis Negara di Dewan Pahlawan, Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA), Batu Kawa, semalam.
Seramai 60 pegawai dan anggota menerima surat penghargaan itu.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, pihaknya bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta agensi lain akan bertindak tegas kali ini dengan harapan negara kita dapat membendung pandemik Covid-19.
“Saya nasihatkan supaya masyarakat tidak sambil lewa akan virus ini.
“Kami tidak mahu usaha membendung penularan Covid-19 sebelum ini musnah begitu sahaja,” ujarnya lagi.
Beliau turut menasihati individu yang diminta kuarantin kendiri di rumah supaya tidak menanggalkan gelang tangan Covid-19.
“Bagi individu yang menanggalkan gelang tangan Covid-19, kalau kita dapat kesan, kita akan ambil tindakan tegas terhadap individu berkenaan.
“Kalau sudah diberi amanah dan kepercayaan, tolong jangan langgar,” tegasnya.
Sebelum ini, tular beberapa gambar di laman sosial berkaitan tindakan individu yang memakai gelang tangan Covid-19 di tempat awam termasuk premis makanan di Perak dan Kuala Lumpur awal minggu ini.
Lebih malang, penemuan gelang tangan di KLIA dikatakan sengaja ditanggalkan oleh individu yang baru pulang dari luar negara dipercayai enggan menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah (HSO).
Oleh Nur Ain Otsman