
KUCHING: Bermula dari era penjajahan hingga ke era digitalisasi, pelbagai cabaran telah ditempuh oleh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengekalkan fungsi serta peranannya sebagai pasukan penguat kuasa undang-undang utama negara, selain memastikan penyampaian perkhidmatan yang berkualiti dan efisien.
Ketua Polis Negara, Dato Seri Mohd Khalid Ismail berkata, setiap anggota pasukan perlu menjadikan pendekatan keselamatan masyarakat sebagai ‘core business’ dalam usaha memperkukuh hubungan dengan orang ramai sekali gus mengekalkan keyakinan terhadap keupayaan PDRM.
“Justeru, ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’ terus diangkat sebagai tema sambutan sejak diperkenalkan pada 2015 kerana ia mencerminkan hubungan simbiotik antara PDRM dan masyarakat dalam memelihara ekosistem kehidupan yang aman dan sentosa,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks perutusan sempena Perhimpunan Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-219 yang dibacakan Ketua Polis Daerah Kuching, Alexson Naga Chabu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, hari ini.
Beliau turut mengingatkan agar setiap anggota terus berpegang kepada profesionalisme tinggi dengan tidak mudah terpengaruh oleh tekanan atau persepsi pihak luar dalam melaksanakan tugas.
“Setiap keputusan dibuat berlandaskan prinsip integriti, undang-undang serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“PDRM tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan imej pasukan dan menghakis kepercayaan masyarakat terhadap institusi keselamatan negara,” tegasnya.
Dalam majlis sama, Alexson Naga Chabu turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 89 penerima termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang See Chee How, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Supt Merbin Lisa, empat Ketua Bahagian IPD Kuching, lapan Pegawai Polis Balai serta 50 pegawai IPD Kuching.
Oleh Norman B