KUALA LUMPUR: Sebanyak 392 individu termasuk 64 warga asing ditahan bagi tempoh Januari hingga semalam, kerana terlibat dalam kegiatan penyeludupan barangan serta penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, kesemua mereka yang berusia 18 hingga 60 tahun itu ditahan dalam 165 serbuan di seluruh negara, oleh Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK).
“Untuk tempoh yang sama juga WCB/PSK telah merampas pelbagai barangan dianggarkan berjumlah RM215,565,308.87,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Selain itu, Hazani berkata WCB/PSK telah menumpaskan penyeludupan diesel dan ayam sejuk beku dalam 12 siri serbuan di seluruh negara antara 10 hingga 20 Oktober lepas.
Beliau berkata dalam empat serbuan Op Tiris, pihaknya menahan 12 lelaki termasuk seorang warga Myanmar berumur 20 hingga 48 tahun dan merampas diesel yang cuba diselewengkan bernilai RM1,468,321.
“Semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
Hazani berkata dalam lapan serbuan OP Taring, WCB/PSK telah menahan seorang lelaki dan dua wanita Indonesia berusia 26 hingga 36 tahun serta merampas 54,515 kotak mengandungi 144 kilogram (kg) gula pasir, 880kg minyak masak dan ayam sejuk beku bernilai RM14,121,465.36.
“Ketiga-tiga yang ditahan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen Haiwan 2015,” katanya.
Menurut beliau, polis sentiasa komited dalam usaha memerangi kegiatan penyeludupan barangan tidak bercukai kastam serta penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi agar hasil negara sentiasa dilindungi dan terpelihara.
Selain itu katanya, operasi bersepadu bersama agensi-agensi penguatkuasaan lain akan diteruskan dan kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat digalakkan agar kegiatan jenayah berkenaan dapat dibanteras sepenuhnya. – Bernama