
SIBU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Sibu mengeluarkan 32 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas dan menyita dua motosikal dalam Operasi Bersepadu Cegah Jenayah bagi membanteras kegiatan lumba haram dan samseng jalanan di bandar ini.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu menerusi kenyataan di Facebooknya memberitahu, operasi yang melibatkan 12 pegawai dan 56 anggota itu turut menjalankan pemeriksaan terhadap 165 kenderaan serta 254 individu.
“Sepanjang operasi berkenaan, sesi advokasi, kesedaran dan nasihat yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Supt Balamurugan A/L Govindan turut diberikan kepada semua penunggang dan pembonceng yang ditahan.
“Bagi penunggang bawah umur, ibu bapa atau penjaga dipanggil hadir untuk diberikan teguran serta nasihat berkaitan keselamatan dan pematuhan undang-undang jalan raya,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan, sepanjang operasi, seramai lapan penunggang bawah umur ditahan atas pelbagai kesalahan trafik, manakala 50 penunggang termasuk ibu bapa dan penjaga menyertai sesi advokasi keselamatan jalan raya.
“Hasil daripada operasi tersebut, sebanyak 32 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas. Selain itu, pihak polis turut menyita dua motosikal di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 Malaysia (Seksyen 108) kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang,” ujar kenyataan itu.
Kenyataan memberitahu, pelaksanaan operasi ini merupakan langkah proaktif PDRM dalam mengekang kegiatan lumba haram dan samseng jalanan, di samping memastikan keselamatan serta ketenteraman awam di Daerah Sibu sentiasa terpelihara.
“Sehubungan dengan itu, ibu bapa diingatkan supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak, memastikan mereka mematuhi undang-undang jalan raya serta tidak terlibat dalam sebarang aktiviti lumba haram atau samseng jalanan yang boleh membahayakan diri dan orang lain,” kata kenyataan itu.
Oleh Aku Giman