
SIMANGGANG: Kebajikan bekas anggota pasukan keselamatan terus menjadi keutamaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi pelaksanaan Program Jerayawara Hal Ehwal Pesara Polis dan Program Pengesahan Pesara Polis/Bekas Polis yang Terlantar Sakit bagi Zon Sarawak, hari ini.
Menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman menjelaskan, program murni ini melibatkan kerjasama erat antara Bukit Aman dan Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Sarawak.

Kehadiran delegasi ini bertujuan memastikan golongan pesara yang pernah menabur bakti kepada negara tidak tersisih daripada perhatian pasukan, terutamanya mereka yang kini berdepan ujian kesihatan.
Dalam siri lawatan tersebut, delegasi telah berkunjung ke kediaman bekas anggota polis, Bawong Busang, yang kini terlantar sakit di Rumah Sigan, Radau Undop, Batu Lintang. Lawatan tersebut diketuai oleh Penolong Pengarah Pengurusan (Hal Ehwal Pesara Polis) Bukit Aman, ACP Datin Mazratul Akmar Ahmed Sabki.

Turut mengiringi beliau ialah ASP Muhd Akbar Busman daripada Bahagian Hal Ehwal Awam/Hal Ehwal Pesara Polis (HEA/HEPP) Kontinjen Sarawak bersama barisan pegawai dari Bukit Aman.
Kehadiran pucuk pimpinan ini melambangkan penghargaan tinggi organisasi terhadap pengorbanan yang telah diberikan oleh anggota veteran sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.
Pihak pengurusan tempatan yang diterajui Timbalan Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Neil Beginda, turut memberikan kerjasama penuh sepanjang program berlangsung. Kehadiran beliau bersama Pegawai Kanan dan Pegawai Rendah Polis menunjukkan solidariti yang teguh dalam kalangan warga PDRM merentas generasi.
Aspek sokongan keluarga juga ditonjolkan melalui kehadiran Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) IPD Sri Aman, Olivia Nayun Kunsu, bersama ahli-ahli PERKEP yang lain. Penglibatan persatuan ini penting bagi memberikan sokongan moral bukan sahaja kepada pesara, malah kepada ahli keluarga yang menguruskan pesara terlantar berkenaan.
Selain bertujuan mengesahkan status pesara yang terlantar, program ini menjadi platform buat PDRM untuk menyantuni dan menilai keperluan semasa veteran dari aspek kebajikan serta kesihatan.
Langkah ini bagi memastikan setiap bantuan yang disalurkan adalah bersesuaian dengan keadaan semasa mereka agar kebajikan mereka terus terpelihara secara sistematik.
Sesi lawatan yang berlangsung dalam suasana hiba dan penuh bermakna itu diakhiri dengan ucapan penghargaan daripada bekas anggota serta ahli keluarganya.
Mereka menzahirkan rasa syukur dan terima kasih di atas keprihatinan pihak polis yang sanggup turun padang menjengah ke kediaman mereka bagi memastikan hubungan silaturahim antara pesara dan pasukan tetap utuh.
Oleh Adi Safarman