
LAWAS: Polis Daerah Lawas terus mempergiatkan usaha membanteras jenayah menerusi pelaksanaan beberapa operasi di sekitar daerah ini semalam.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan, dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa sepasukan polis telah menjalankan Operasi Khas Op Tapis di sebuah rumah di Jalan Long Tuma, di sini.
“Hasil operasi tersebut, tiga lelaki berusia 46, 48 dan 59 tahun telah ditahan kerana disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah,” katanya.
Saringan air kencing terhadap ketiga-tiga suspek mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
Semakan rekod jenayah lampau pula menunjukkan seorang daripada mereka mempunyai satu kesalahan lampau, seorang lagi mempunyai empat kesalahan lampau, manakala seorang lagi tiada rekod jenayah.
Kesemua mereka kini disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam operasi berasingan pada 1.00 petang, di tepi jalan Long Tuma, seorang lelaki berusia 31 tahun turut ditahan kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah. Suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine, dan mempunyai satu rekod kesalahan lampau.
Sementara itu, sekitar 2.00 petang di kawasan Merapok, seorang lelaki berusia 50 tahun telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan perjudian.
“Dalam tangkapan itu, pihak polis turut merampas sebuah telefon bimbit dan sejumlah wang tunai yang dipercayai digunakan untuk tujuan perjudian,” ujar DSP Liong.
Semakan mendapati suspek tiada rekod kesalahan lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Oleh Adeng Edrus