
LAWAS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Lawas akan terus melakukan pemantauan dan pemeriksaan tahap keselamatan kawasan kebakaran belukar di Banting Fasa IV Lawas.
Sekitar 9.00 pagi, kepulan asap dilihat muncul daripada kawasan yang terletak di kawasan berhampiran Sekolah Kebangsaan Agama (MIS) Lawas dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Lawas.
Melalui tinjauan Utusan Sarawak mendapati kawasan belukar di beberapa lot tanah pemilikan sementara untuk penempatan semula Kampung Banting Fasa IV telah terbakar.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan telah mengesahkan perkara ini dan memaklumkan bahawa pasukannya telahpun melakukan pemantauan.
“Kita akan terus memantau dan juga memeriksa tahap keselamatan di kawasan berkenaan khususnya kawasan yang ada penghuni.
“Jarak antara kawasan sekolah dan PPDK adalah masih jauh serta selamat, ” katanya ketika dihubungi hari ini.
DSP Liong mengingatkan penduduk dan pemilik tanah di kawasan berkenaan dan perkampungan untuk tidak melakukan pembakaran secara sembarangan hingga hilang kawalan.
Oleh Adeng Edrus