
LAWAS: Rombongan dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman diketuai Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi, CP Dato Seri Sahabudin Abd Manan telah mengadakan lawatan kerja ke Pondok Polis Ba’kelalan Lawas semalam.
Ketibaan rombongan dari Bario, Marudi pada 10.00 pagi di Lapangan Terbang Ba’kelalan disambut mesra oleh Ketua Polis Daerah Lawas DSP Liong Tindan dan warga kerja Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas serta Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) IPD Lawas.
Liong memberitahu, lawatan kerja PDRM Bukit Aman ke Ba’kelalan adalah untuk meninjau sendiri keadaan logistik dan penugasan PDRM di Pondok Polis Ba’kelalan.
“Semua warga kerja IPD Lawas mengucapkan selamat datang dan terima kasih kepada Dato Seri Sahabudin Abd Manan dan rombongan kerana sudi meninjau dan melihat sendiri keadaan logistik dan penugasan PDRM di Ba’kelalan Lawas,” katanya pada lawatan kerja ke Pondok Polis Ba’kelalan Lawas semalam.
Seterusnya, rombongan dibawa ke Pondok Polis Ba’kelalan yang berada di Pos Kawalan Imigresen Ba’kelalan untuk lawatan rasmi dan mengadakan tinjauan berkenaan keadaan Pondok Polis Ba’kelalan.
Selesai lawatan di Pondok Polis Ba’kelalan, rombongan dibawa ke Perbatasan Malaysia/Indonesia iaitu di sempadan Ba’kelalan dan Long Bawan.
Rombongan lawatan seterusnya bergerak ke Pos Kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) Ba’kelalan dan disambut mesra oleh Komander Kompeni ‘C’ Batalion 12 PGA Limbang ASP Azhar Mohamad.
Selesai lawatan di Pos Kawalan PGA Ba’kelalan, rombongan bergerak ke Lapangan Terbang Ba’kelalan dan seterusnya berlepas ke Miri menggunakan pesawat udara PDRM.
Oleh Adeng Edrus