BINTULU: Parti Demokratik Progresif (PDP) melangkah ke hadapan dalam usaha memperkasakan pengurusan parti apabila melancarkan platform keahlian digital yang membolehkan permohonan menyertai parti dilakukan secara dalam talian.
Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha transformasi digital PDP bagi memudahkan urusan pendaftaran ahli, mempercepatkan proses pentadbiran serta menarik penyertaan lebih ramai masyarakat terutama golongan muda.

Setiausaha Agung PDP yang juga Ahli Parlimen Baram, Dato Anyi Ngau berkata, penggunaan platform digital itu perlu dilaksanakan seiring dengan peraturan dan Perlembagaan parti bagi memastikan setiap proses keahlian kekal teratur.
Menurutnya, walaupun teknologi digunakan bagi memudahkan urusan, proses sokongan dan pengesahan di peringkat bahagian masih perlu dipatuhi seperti prosedur sedia ada.
“Transformasi digital ini bukan untuk mengetepikan peraturan parti, tetapi untuk memastikan pengurusan keahlian menjadi lebih mudah, cekap dan sentiasa selaras dengan Perlembagaan PDP serta semangat kerjasama dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Transformasi Digital dan Perhimpunan Perpaduan PDP yang berlangsung di sebuah hotel di sini, semalam.
Katanya, sistem baharu itu diharap dapat menjadi satu amalan berterusan dalam pentadbiran parti serta meningkatkan kecekapan organisasi pada masa akan datang.
Dalam pada itu, Anyi turut mengingatkan seluruh anggota parti supaya memperkukuhkan persediaan organisasi memandangkan tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dan Parlimen semakin menghampiri penghujungnya.
Beliau berkata, semua peringkat kepimpinan termasuk sayap Pemuda dan Wanita perlu terus mempererat perpaduan serta bergerak bersama Presiden PDP, Dato Sri Tiong King Sing bagi memastikan parti terus kukuh dalam GPS.
Menurutnya, kekuatan PDP akan turut menyumbang kepada kekuatan GPS dalam meneruskan agenda pembangunan negeri serta memperjuangkan kepentingan rakyat.

Sementara itu, Ketua Pemuda Nasional PDP, Yiak Chiong Wei berkata, perkembangan teknologi dan pendigitalan merupakan satu langkah penting yang perlu dimanfaatkan bagi memastikan organisasi bergerak seiring perubahan semasa.
Beliau berkata, penggunaan teknologi bukan sahaja membantu mempercepatkan proses penyampaian maklumat, malah dapat memperkukuhkan komunikasi serta hubungan antara parti dengan masyarakat.
“Pada masa kini, teknologi memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian. Kita perlu bergerak bersama dengan perubahan digital supaya usaha yang dilaksanakan dapat memberi manfaat lebih besar kepada rakyat,” katanya.
Yiak berkata, pendekatan digital juga membuka ruang kepada generasi muda untuk lebih dekat dengan organisasi serta memahami peranan mereka dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
Beliau turut menggesa semua ahli PDP supaya terus bekerjasama dan memainkan peranan masing-masing dalam memperkukuhkan parti serta memastikan segala usaha yang dilakukan membawa manfaat kepada masyarakat.
Oleh Faizah Muzidi





