
SIBU: Ahli Parti Demokratik Progresif (PDP) Bahagian Dudong digesa supaya memberikan sokongan penuh kepada Presiden parti, Dato Sri Tiong King Sing, bagi mengekalkan jawatan itu tanpa pertandingan dalam pemilihan kepimpinan pusat parti.
Pengerusinya, Datuk Teo Boon Siew berkata demi mengekalkan kekuatan dan perpaduan parti, jawatan presiden tidak seharusnya dicabar kerana di bawah kepimpinan Tiong King Sing, PDP semakin kukuh serta terus mendapat sokongan dan keyakinan meluas daripada rakyat
“Pada masa sama, bahagian kami turut menyatakan sokongan penuh kepada presiden parti untuk mempertahankan kerusi Dudong dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak akan datang supaya pembangunan di kawasan itu dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan resolusi bahagian pada Mesyuarat Agung Tiga Tahun Sekali PDP Bahagian Dudong di Gelanggang Bola Keranjang Pekan Durin, di sini hari ini.
Teo berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak telah meluluskan penambahan 17 kawasan pilihan raya baharu dan kepimpinan pusat PDP perlu berusaha mendapatkan kerusi yang sewajarnya untuk parti.
Menurutnya, Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus mengekalkan semangat berpasukan serta memastikan pengagihan kerusi baharu dilakukan secara munasabah dan adil.
Dalam pada itu, beliau menggesa ahli parti supaya terus bersatu, bekerjasama dan berwaspada terhadap unsur luar yang boleh menggugat perpaduan parti.
“Pemimpin masyarakat dan ahli majlis tempatan yang diberi amanah perlu terus memainkan peranan dalam berkhidmat kepada rakyat serta menjadi jambatan komunikasi antara masyarakat, parti dan kerajaan,” katanya.
Teo turut menegaskan sokongan penuh kepada Tiong untuk mempertahankan kerusi Dudong, sambil menyifatkan kawasan itu menunjukkan kemajuan ketara di bawah kepimpinan beliau.
Dalam perkembangan lain, beliau menggesa kerajaan supaya segera menyelesaikan masalah bekalan air di kawasan luar bandar Dudong yang kerap mengalami gangguan sehingga mengambil masa beberapa hari, malah minggu, untuk dipulihkan.
Selain itu, PDP Bahagian Dudong turut menggesa projek menaik taraf Jalan Kong Yit Khim kepada jalan berkembar empat lorong dipercepatkan susulan peningkatan trafik selepas pembukaan Lebuh Raya Sibu Jaya.
Teo juga meminta syarikat telekomunikasi meningkatkan perkhidmatan komunikasi dan internet di kawasan Durin dan Dudong yang sering berdepan gangguan, sekali gus menjejaskan penduduk serta institusi pendidikan.
Pada mesyuarat itu, Teo mengekalkan jawatannya sebagai Pengerusi PDP Bahagian Dudong bagi sesi 2026-2029, manakala Amping Ranggau dipilih sebagai timbalannya.
Oleh Tarani Lanting