
KUCHING: Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) bukanlah satu ‘lesen kekebalan’ untuk menafikan hak Sarawak ke atas sumber minyak dan gasnya, tegas Ahli Dewan Negara, Senator Dato’ Ahmad Ibrahim.
Beliau berkata, semua pihak harus menghormati kedudukan undang-undang sedia ada termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO 1958), serta latar belakang sejarah panjang industri minyak dan gas di negeri ini.
“PDA tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya untuk mengatasi hak dan perundangan negeri. Kita harus kembali kepada asas – kepada MA63, OMO 1958 dan sejarah yang membuktikan kedudukan Sarawak dalam industri ini,” katanya.
Menurut beliau, kenyataan seorang Ahli Parlimen baru-baru ini di televisyen mengenai kuasa minyak dan gas di Sarawak adalah berat sebelah dan mengabaikan fakta undang-undang asas yang telah wujud sebelum Malaysia dibentuk.
“Sejak penemuan minyak di Miri pada 1910, Sarawak telah pun menjadi sebuah wilayah pengeluar minyak dan gas—lebih 53 tahun sebelum Malaysia wujud. Industri ini berkembang di bawah undang-undang negeri sendiri, jauh sebelum PDA digubal pada 1974,” katanya.
Beliau menjelaskan, Seksyen 73 Malaysia Act 1963 mengekalkan semua undang-undang negeri yang berkuat kuasa sebelum pembentukan Malaysia, termasuk OMO 1958 yang memberi kuasa penuh kepada Sarawak mengawal pelesenan minyak dan gas di darat dan pelantar benua.
Tambah beliau, PDA 1974 hanya terpakai sepenuhnya di negeri-negeri yang tidak mempunyai undang-undang seperti OMO 1958.
“Di Sarawak, PDA tidak boleh mengatasi OMO 1958, Ordinan Pengagihan Gas (DGO 2016), Kanun Tanah Sarawak atau Cukai Jualan Negeri,” tegasnya.
Ahmad turut mengingatkan bahawa DGO 2016 memberi kuasa eksklusif kepada negeri untuk melesenkan pengagihan gas, manakala Petros telah diiktiraf oleh Kerajaan Persekutuan sebagai pengagregat gas tunggal Sarawak, tidak termasuk LNG.
Beliau juga mengimbas keputusan Mahkamah Tinggi pada 13 Mac 2020 yang mengesahkan hak Sarawak mengenakan Cukai Jualan Negeri (SST) ke atas produk petroleum, yang mana Petronas menarik balik rayuan dan melunaskan bayaran berkaitan.
“Sebelum membuat kenyataan berasaskan khabar angin, pelajari dahulu fakta undang-undang. Hak Sarawak berasaskan perlembagaan, sejarah dan undang-undang tidak boleh dipolitikkan,” ujarnya.