KUALA LUMPUR: Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) memeterai Farm Out Agreement (FOA) dengan syarikat milik penuh kerajaan negeri Sabah, SMJ Sdn Bhd (SMJSB) untuk penjualan 50 peratus kepentingan penyertaan bukan operasi PCSB dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Samarang.
Urus niaga itu sedang menunggu kelulusan kawal selia dan pemenuhan syarat-syarat sebelum ini, menurut Petronas dalam kenyataan hari ini.
PCSB dan SMJSB telah memeterai Perjanjian Utama untuk merekodkan persetujuan pihak-pihak berkenaan pada bulan lepas dan mengesahkan penyertaan SMJSB dalam PSC Samarang, dan ini diganti dengan FOA.
“FOA menunjukkan perkembangan kedua yang penting antara PCSB dan SMJSB susulan Perjanjian Kerjasama Komersial yang ditandatangani antara Petronas dan kerajaan negeri Sabah pada 7 Dis 2021,” katanya.
Di bawah FOA, PCSB akan terus menjadi pengendali PSC Samarang dengan SMJSB sebagai rakan kongsi bukan operasi.
Lapangan Samarang, yang terletak kira-kira 50 kilometer dari pantai Sabah, kini mengeluarkan kira-kira 36,000 tong minyak dan gas bersamaan sehari (kboe/d), menurut Petronas.
Katanya pengeluaran gas di lapangan tersebut, yang sebanyak 134 juta kaki padu standard sehari, merupakan sebahagian daripada bekalan untuk pelanggan di Kota Kinabalu dan Labuan. – Bernama