PENDAHULUAN
Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) adalah pelan strategik yang diperkenalkan oleh kerajaan Sarawak dengan aspirasi untuk mentransformasikan Sarawak menjadi negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Ia dirangka dalam konteks kebangkitan semula ekonomi pasca pandemik Covid-19, dengan penekanan terhadap inovasi dan penggunaan data sebagai asas pembangunan mampan.
Matlamat utama PCDS 2030 meliputi tiga teras utama, iaitu kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial, dan kelestarian alam sekitar.
Perbincangan ini akan menganalisis elemen-elemen utama PCDS 2030, sektor ekonomi dan pemboleh utamanya, serta cabaran yang perlu diatasi bagi memastikan kejayaannya.
KEMAKMURAN EKONOMI
PCDS 2030 menyasarkan transformasi struktur ekonomi Sarawak melalui penggandaan saiz Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan peningkatan sumbangan sektor-sektor utama.
Pelan ini mencadangkan peralihan fokus daripada ekonomi berasaskan sumber semula jadi kepada ekonomi bernilai tambah tinggi, termasuk sektor pembuatan, pertanian komersial, dan pelancongan.
Namun begitu, pencapaian matlamat ini bergantung kepada keupayaan Sarawak untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan memperkukuh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.
Cabaran lain termasuk keperluan memastikan pembangunan ekonomi yang seimbang di kawasan bandar dan luar bandar.
Kawasan luar bandar sering ketinggalan dari segi infrastruktur asas, yang boleh menghalang pertumbuhan sektor ekonomi di kawasan tersebut.
KETERANGKUMAN SOSIAL
Keterangkuman sosial merupakan elemen penting dalam PCDS 2030, dengan matlamat meningkatkan pendapatan median isi rumah daripada RM4,544 kepada RM15,000 menjelang 2030.
Pendekatan ini bertujuan memastikan manfaat ekonomi dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, termasuk golongan B40 dan komuniti luar bandar.
Bagaimanapun, usaha ini memerlukan strategi pelaksanaan yang komprehensif, termasuk pengurangan jurang digital, pemberdayaan komuniti, dan pengurangan ketidaksamaan ekonomi.
Pendidikan dan pembangunan modal insan menjadi aspek kritikal, kerana tenaga kerja yang berkemahiran tinggi diperlukan untuk menyokong pertumbuhan sektor-sektor ekonomi utama.
Pelaburan dalam pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) harus menjadi keutamaan bagi meningkatkan keupayaan tenaga kerja tempatan.
KELESTARIAN ALAM SEKITAR
PCDS 2030 menekankan usaha mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 45 peratus menjelang 2030 sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap kelestarian alam sekitar.
Aspek ini selaras dengan agenda global untuk menangani perubahan iklim.
Cabaran terbesar dalam mencapai matlamat ini ialah memastikan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar.
Aktiviti seperti perlombongan dan perhutanan, walaupun penting untuk ekonomi negeri, boleh memberi kesan buruk kepada alam sekitar jika tidak diuruskan dengan baik.
Oleh itu, pematuhan kepada standard alam sekitar dan penerapan teknologi hijau menjadi keutamaan. Kerjasama antara sektor awam dan swasta diperlukan untuk memperkenalkan inovasi yang dapat mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar.
SEKTOR EKONOMI UTAMA
PCDS 2030 memfokuskan kepada enam sektor ekonomi utama: pembuatan, pertanian komersial, pelancongan, perhutanan, perlombongan, dan perkhidmatan sosial.
Keenam-enam sektor ini disokong oleh tujuh pemboleh utama yang merangkumi transformasi digital, inovasi, infrastruktur asas, pengangkutan, utiliti, pendidikan, dan tenaga boleh diperbaharui.
Transformasi digital adalah pemboleh utama yang paling kritikal, kerana ia merangkumi seluruh aspek pembangunan ekonomi dan sosial.
Sarawak perlu memperkukuh infrastruktur teknologi seperti internet berkelajuan tinggi untuk menyokong transformasi ini.
Selain itu, pembangunan modal insan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) adalah penting bagi memastikan penerapan teknologi dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Infrastruktur asas dan pengangkutan juga memainkan peranan penting dalam menghubungkan kawasan luar bandar dengan pusat-pusat ekonomi utama.
Tanpa infrastruktur yang mencukupi, usaha untuk memacu pertumbuhan sektor-sektor utama akan terhalang.
Begitu juga dengan pendidikan, yang merupakan asas kepada pembangunan modal insan berkualiti tinggi.
CABARAN PCDS 2030
Walaupun PCDS 2030 merupakan pelan yang berwawasan jauh, terdapat beberapa cabaran utama yang perlu diatasi, yang pertama ialah dari segi pelaksanaan dan pemantauan.
Kejayaan pelan ini bergantung kepada keupayaan kerajaan negeri untuk melaksanakan dan memantau inisiatif yang dirancang. Kekurangan kapasiti institusi atau sumber kewangan boleh menjejaskan pencapaian matlamat.
Oleh itu, mekanisme pemantauan yang telus dan berkesan perlu diwujudkan.
Yang kedua adalah keperluan penyertaan komuniti yang lebih aktif. Keterangkuman sosial hanya tercapai jika masyarakat memahami dan menyokong inisiatif PCDS 2030.
Oleh itu, program kesedaran dan pendidikan harus diperkuat untuk meningkatkan pemahaman, kepercayaan, dan penglibatan komuniti dalam pelaksanaan pelan ini, memastikan manfaat pembangunan dirasai oleh semua lapisan masyarakat secara adil dan menyeluruh.
Ketiga ialah PCDS 2030 memerlukan pembiayaan besar, dan Sarawak harus memastikan sumber kewangan mencukupi melalui pelaburan domestik serta antarabangsa.
Pengurusan kewangan yang cekap dan strategi peruntukan dana yang efektif adalah penting untuk menjamin pelaksanaan pelan ini secara mampan, selaras dengan matlamat pembangunan negeri menjelang 2030.
Ia tidak sekadar kemampuan pembiayaan semata-mata, malah sumber modal insan atau bakat perlu dibangunkan secara berganda selaras dengan tekad untuk maju pada 2023.
KESINAMBUNGAN DAN MEMPERBAHARUI PEMBANGUNAN
Keempat ialah aspek jurang infrastruktur luar bandar, iaitu jurang infrastruktur asas antara kawasan bandar dan luar bandar masih ketara, menjejaskan keterangkuman sosial.
Oleh itu, pembangunan infrastruktur di luar bandar harus menjadi keutamaan, memastikan akses kepada kemudahan asas dan peluang ekonomi yang setara bagi semua komuniti, sekali gus menyokong matlamat PCDS 2030 untuk pembangunan yang inklusif.
Faktor cabaran kelima ialah dari aspek pengurusan risiko alam sekitar.
Maka, aktiviti ekonomi seperti perlombongan dan perhutanan mesti seimbang dengan usaha pemeliharaan alam sekitar.
Pematuhan terhadap peraturan dan standard alam sekitar perlu diperkukuh melalui penguatkuasaan yang tegas, memastikan pembangunan mampan dan pada masa sama, meminimumkan kesan negatif terhadap ekosistem dan memenuhi matlamat kelestarian PCDS 2030.
Hakikatnya, PCDS 2030 adalah pelan pembangunan yang menyeluruh dan bercita-cita tinggi, dengan potensi untuk mentransformasikan Sarawak menjadi negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Pelan ini menunjukkan komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan mampan, keterangkuman sosial, dan kelestarian alam sekitar.
Namun, kejayaan pelan ini bergantung kepada pelaksanaan yang efektif, kerjasama antara sektor awam dan swasta, serta sokongan masyarakat.
Dengan strategi yang betul dan pelaksanaan berkesan, PCDS 2030 dapat menjadi pemangkin kepada transformasi Sarawak yang diidamkan.
- Datuk Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasidan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).