
KOTA SAMARAHAN: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, menegaskan bahawa pencapaian pembangunan negeri ketika ini adalah hasil pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang dirangka secara komprehensif untuk mentransformasi Sarawak ke arah negeri maju.
“Kami mahu Sarawak dikenali bukan sahaja sebagai sebuah negeri yang membangun pesat, tetapi juga sebagai pusat ilmu pengetahuan dan penyelidikan yang mampu memberi sumbangan besar kepada dunia.
“Kehadiran para pakar antarabangsa di sini amat dialu-alukan kerana ia membuka ruang kerjasama baharu dalam bidang inovasi dan teknologi,” katanya ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa Forum Kejuruteraan Awam Euro Asia Ke-9 (EACEF 2025) di DeTAR PUTRA, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di sini, hari ini.
Beliau mengucapkan tahniah kepada Unimas kerana berjaya membawa acara berprestij antarabangsa itu ke Sarawak.

Beliau turut menekankan kepentingan inovasi dalam bidang kejuruteraan awam dan alam sekitar bagi memastikan pembangunan negeri terus seimbang dengan kelestarian.
“Pembangunan mesti bergerak seiring dengan penjagaan alam sekitar. Justeru, saya berharap hasil daripada persidangan ini akan lahir idea dan penyelesaian yang mampu memberi manfaat bukan sahaja kepada Sarawak, malah kepada rantau ini,” ujar beliau.
Persidangan Antarabangsa Forum Kejuruteraan Awam Euro Asia Ke-9 (EACEF 2025) membuka tirainya hari ini menghimpunkan pakar kejuruteraan awam dan alam sekitar, penyelidik serta penggiat industri dari pelbagai negara Eropah dan Asia.
Persidangan dwitahunan itu dianjurkan dengan kerjasama Fakulti Kejuruteraan UNIMAS dan Universitas Pembangunan Jaya (UPJ), Indonesia, dengan matlamat mengukuhkan jaringan kerjasama akademik dan industri di rantau ini.
Turut hadir Naib Canselor Uni,as, Profesor Dr Ahmad Hata Rasit dan Pemangku Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kuching, Musa Derek Sairwona.
Ditubuhkan pada 2006 di Stuttgart, Jerman, EACEF diadakan secara bergilir-gilir antara Eropah dan Asia.
Untuk edisi kesembilan ini, Unimas telah dipilih sebagai tuan rumah dengan tema ‘Melangkaui Sempadan: Memperkasa Inovasi dalam Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar.’
Sepanjang dua hari penganjuran, persidangan ini menampilkan enam ucaptama daripada pakar tersohor dari Malaysia, Indonesia, Jerman dan Switzerland selain lebih 70 kertas teknikal dibentangkan merangkumi bidang Bahan Binaan Lestari dan Inovatif, Kejuruteraan Struktur dan Pembinaan Maju, Kejuruteraan Geoteknikal serta Kejuruteraan Tenaga Hijau Lestari.
Oleh Norman B