
PADAWAN: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Sarawak antara yang terbaik dalam Malaysia dari aspek pembangunan mampan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, berdasarkan laporan Urbanice Malaysia bagi pelan hala tuju Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), majlis bandar raya di wilayah ini mencatatkan pencapaian sebanyak 67 peratus, jauh mengatasi purata kebangsaan yang hanya 57 peratus.
Pada peringkat majlis perbandaran, Sarawak mencatat 60 peratus berbanding hanya 46 peratus secara nasional.
“Saya sering tegaskan bahawa standard kita di Borneo atau lebih tepat, standard Sarawak adalah lebih tinggi daripada standard kebangsaan.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua PBT, ahli-ahli majlis, pengerusi dan semua yang terlibat atas usaha cemerlang yang telah mengharumkan nama Sarawak,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Upacara Pecah Tanah Pejabat Baharu Majlis Perbandaran Padawan (MPP) hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkongsikan kejayaan Sarawak dalam Jaringan Penunjuk Pembangunan Mampan Bandar-Luar Bandar Malaysia (MURNInets), di mana MPP diiktiraf sebagai bandar paling mampan di Malaysia tahun lalu.
Selain itu, MPP juga menerima geran RM200,000 sebagai pengiktirafan manakala Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) turut diiktiraf sebagai salah satu PBT paling mampan di Malaysia.
Selain itu katanya, Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan MPP telah menerima Anugerah Perintis Bandar Pintar, di mana masing-masing menerima pembiayaan sebanyak RM400,000 sebagai sokongan terhadap komitmen dan kejayaan awal mereka dalam menyediakan perkhidmatan pintar yang berfokuskan rakyat.
Turut hadir Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
-UKAS