Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • PBSMM Sibu anjur sambutan Hari Pertolongan Cemas Sedunia 2025
  • Tengah
  • WILAYAH

PBSMM Sibu anjur sambutan Hari Pertolongan Cemas Sedunia 2025

Utusan Sarawak 4 days ago
JOM…Poster program sambutan Hari Pertolongan Cemas Sedunia 2025 yang akan berlangsung pada 14 September ini di Sibu.

SIBU: Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) Cawangan Sibu akan menganjurkan sambutan Hari Pertolongan Cemas Sedunia 2025 pada 14 September ini di Hotel Kingwood, Sibu.

Pengerusi PBSMM Cawangan Sibu Penghulu Chua Hiong Kee berkata, program tersebut dijadual berlangsung dari 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari dan terbuka kepada orang awam.

“Hari Pertolongan Cemas Sedunia disambut setiap tahun pada Sabtu kedua September sebagai satu inisiatif global untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan ilmu pertolongan cemas.

“Ia bukan sahaja merupakan kemahiran menyelamatkan nyawa, malah satu tindakan kemanusiaan yang boleh dipelajari dan diamalkan oleh semua golongan masyarakat, bukan hanya petugas kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya lagi, sambutan pada tahun ini memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesedaran, memperluas pendidikan serta memperkasa komuniti agar bersedia menghadapi kecemasan dengan penuh yakin.

Beliau berkata, ilmu pertolongan cemas sangat penting kerana tindakan segera dan betul boleh menyelamatkan nyawa serta mengurangkan tahap kecederaan sebelum bantuan profesional tiba.

Antara pengisian utama program ialah pameran pertolongan cemas yang akan memaparkan pelbagai demonstrasi secara langsung seperti teknik CPR, penggunaan alat AED, kaedah menangani mangsa tercekik, rawatan luka pendarahan di bahagian tubuh seperti tangan, siku, lutut, lengan dan kaki, serta teknik balutan kepala, bahu dan dada.

Turut ditampilkan ialah kaedah pengendalian patah tulang, penggunaan anduh dan kaedah pemeriksaan mangsa yang sedar atau tidak sedar.

“Aktiviti ini bertujuan memberi pendedahan praktikal kepada orang ramai dalam menangani pelbagai jenis kecederaan atau kemalangan.

“Selain itu, satu pertandingan mewarna turut dianjurkan khas untuk ahli Unit Junior PBSMM dari sekolah rendah. Pertandingan yang berlangsung dari 9.00 hingga 10.00 pagi itu akan melibatkan murid Tahun 3 hingga Tahun 6, dengan jumlah keseluruhan 39 peserta,” jelasnya.

Dalam usaha memperkukuh kesedaran kesihatan masyarakat, beliau berkata, PBSMM Cawangan Sibu turut bekerjasama dengan Hospital Sibu untuk mengadakan saringan kesihatan percuma seperti ujian indeks jisim badan (BMI) dan tahap glukosa darah.

Program ini, ujarnya, turut mendapat sokongan daripada Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu melalui pelaksanaan aktiviti promosi kesihatan meliputi topik berkaitan rabies, demam denggi, kawalan jangkitan dan maklumat mengenai ubat-ubatan.

Chua memberitahu bahawa program ini merupakan platform terbaik untuk mendidik masyarakat mengenai langkah-langkah asas dalam menyelamatkan nyawa dan bagaimana bertindak secara efektif ketika berdepan kecemasan.

Beliau menggalakkan orang ramai agar hadir dan mengambil peluang ini untuk mempelajari ilmu yang mungkin berguna suatu hari nanti.

“Hari Pertolongan Cemas Sedunia bukan sahaja meraikan usaha kemanusiaan di seluruh dunia, malah menjadi peringatan bahawa setiap individu mempunyai peranan dalam mewujudkan komuniti yang lebih selamat dan bersedia,” tambahnya.

Sambutan ini diharapkan dapat menyemai semangat solidariti serta nilai kemanusiaan dalam kalangan masyarakat tempatan, selari dengan misi Persatuan Bulan Sabit Merah dan Gerakan Palang Merah Antarabangsa.

Oleh Tarani Lanting

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Belia tonggak masa depan Sarawak
Next: Sijil AHP Taman Negara Bako dan Taman Negara Bukit Lambir diserahkan November ini

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.