
MIRI: Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) Cabang Miri melalui Jawatankuasa Khidmat Komuniti dan Kebajikan berjaya melaksanakan program khidmat masyarakat yang menyentuh hati dengan menyantuni keluarga memerlukan di kawasan Lambir, semalam.
Program tersebut mencerminkan komitmen berterusan PBSMM terhadap perkhidmatan kemanusiaan serta usaha memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat.
Aktiviti bermula dengan berkumpul di ibu pejabat PBSMM Miri sebelum pasukan berlepas ke lokasi yang ditetapkan.

Ketibaan mereka disambut mesra oleh penduduk tempatan sekali gus mencetuskan suasana penuh makna sepanjang program berlangsung.
Antara pengisian utama ialah penyampaian bakul makanan kepada keluarga yang memerlukan sebagai sokongan keperluan asas.
Selain itu, ceramah kesedaran turut diadakan untuk memberi pendedahan mengenai aspek kesihatan, kebersihan dan tanggungjawab sosial.

Program berakhir dengan sesi bergambar sebagai simbolik kejayaan penganjuran yang disemarakkan dengan nilai perpaduan dan keprihatinan.
Inisiatif tersebut bukan sahaja memberi bantuan berbentuk material, malah turut mengeratkan hubungan antara PBSMM dengan komuniti setempat sekali gus menyuntik harapan dan semangat baharu dalam kalangan penerima manfaat.
Oleh Liong Chai Ling