
KUCHING: Seramai 80 prospek penjara di Sarawak dibebaskan di bawah program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan MADANI (Kepulangan Yang Dinanti) sempena Hari Raya Aidilfitri akan datang.
Daripada jumlah tersebut, 25 prospek dari Penjara Puncak Borneo, 15 dari Penjara Pusat Sri Aman, 18 dari Penjara Pusat Sibu, dua dari Pusat Koreksional Bintulu, 14 dari Penjara Pusat Miri dan enam daripada Penjara Limbang.
Menurut Pengarah Penjara Negeri Sarawak, Timbalan Komisioner Teyun Thian Eim, prospek yang layak dibebaskan di bawah program ini adalah mereka yang menjalani hukuman penjara tiga tahun ke bawah, telah menjalani satu per tiga tempoh hukuman serta tidak dikenakan hukuman mandatori.
“Sebelum prospek-prospek ini dibebaskan, kita telah pun membuat program pemulihan dalam penjara dan saya percaya yang akan dibebaskan pada hari ini adalah mereka yang telah melepasi tapisan-tapisan yang diperlukan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis PBSL Ihsan Madani (Kepulangan Yang Dinanti) di Penjara Puncak Borneo, hari ini.
Berhubung dengan pembebasan ini, beliau menegaskan bahawa prospek masih lagi tertakluk kepada Seksyen 43 Akta Penjara 1995, yang mana prospek yang didapati melanggar syarat akan dikenakan hukuman tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi Penjara Puncak Borneo, 10 Orang Banduan Berlesen (OBB) diserahkan kepada majikan, 10 OBB diserahkan kepada keluarga masing-masing manakala lima OBB akan ditempatkan di rumah perantaraan.
Secara keseluruhannya, 27 OBB diserahkan kepada majikan, 41 OBB diserahkan kepada keluarga dan 12 OBB diletakkan di rumah perantaraan.
Program PBSL ini membolehkan prospek yang terpilih menjalani hukuman dalam masyarakat dan menyesuaikan diri dengan pekerjaan sekali gus membantu prospek yang dibebaskan untuk mendapatkan peluang pekerjaan, wang secukupnya dari upah yang diperolehi serta penyediaan tempat tinggal.
Dalam tempoh ini, Pegawai Parol Daerah (PPD) akan mengawal selia OBB di kawasan pentadbirannya dan akan sentiasa berhubung serta mendapatkan maklum balas perkembangan OBB dari pihak penjamin.
Hadir sama, Pengarah Penjara Puncak Borneo Shahrin Nizam Ahmad. – UKAS