Capaian internet lemah dan ketiadaan gajet antara kekangan utama yang merentap semangat para pelajar dalam mengikuti kelas secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Masih ramai pelajar terutamanya di kawasan luar bandar yang tidak dapat mengikuti pembelajaran secara dalam talian kerana berdepan dengan pelbagai masalah serta kekurangan infrastruktur asas lain.
Pada era pembelajaran “remote learning”, era norma baharu ini, kaedah Pembelajaran Berasaskan Projek (PBL) dianggap kaedah yang paling sesuai.
Dengan waktu yang terhad untuk kelas secara dalam talian, pembelajaran tidak seharusnya bergantung kepada pembelajaran ‘face to face’ sahaja, sebaliknya majoriti pembelajaran berlaku secara ‘offline’.
Inisatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mewujudkan Pameran e-PBL dilihat tepat pada masanya kerana ia merupakan suatu kaedah pembelajaran yang berpusatkan murid lebih-lebih lagi dalam tempoh pandemik Covid-19.
Pegawai Pendidikan Daerah Sibu Ahli Chikba berkata, PBL adalah untuk membantu murid mengkaji secara mendalam tentang sesuatu isu atau topik bagi menghasilkan suatu produk terutama berasaskan PdPR.
Katanya, dalam keadaan pelajar belajar di rumah masing-masing, kekangan capaian internet dan keupayaan ekonomi keluarga dikenal pasti sebagai halangan utama.
“Untuk mencapai matlamat bahawa tiada murid tercicir dalam aktiviti pembelajaran dan pengajaran, PBL diyakini pilihan terbaik murid dalam tempoh pandemik ini.
“PBL menyediakan bahan pembelajaran kepada murid yang boleh disiapkan dalam tempoh yang lama dan memerlukan penyeliaan guru yang minimum,” katanya ketika berucap merasmikan pelancaran Pameran e-PBL 2021 Sekolah Kebangsaan (SK) Bandaran Sibu No.2 menerusi platform Youtube, baru-baru ini.
Menurut Ahli, sumber pembelajaran untuk PBL adalah kit Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK-21) dari KPM.
Beliau juga berkata, PBL dapat dilaksanakan sama ada dalam talian atau di luar talian serta menggalakkan penglibatan ibu bapa dan keluarga dalam PnP para murid.
“Melalui aktiviti penerokaan dan perancangan serta penilaian dalam tugasan PBL, amalan terbaik dan kemenjadian murid dapat terjadi.
“Malah, para guru juga dapat mencungkil dan mengembangkan potensi muird menerusi aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan.
“Hal ini kerana PBL memberikan perhatian kepada kemahiran yang perlu dikuasai oleh murid,” ujarnya.
Beliau berkata lagi, PBL ini tidak menyasarkan produk akhir semata-mata, tetapi lebih kepada proses pembelajaran yang dilalui oleh murid itu sendiri dalam mencapai matlamat pembelajaran.
Jelasnya, proses pembelajaran tersebut yang akan mematangkan murid dari segi perolehan ilmu yang memampukan mereka bersaing di persada global.
“Oleh yang demikian, saya berharap para guru dan murid dapat memanfaatkan segala ilmu yang diperolehi melalui pameran ini dan cuba mengadaptasikannya pada masa depan.
“Marilah kita bersatu hati dan berganding bahu dalam melestarikan pendidikan yang merupakan agenda berterusan dalam gelombang transformasi pendidikan negara,” katanya.
Oleh NURZILLA MOHAMAD