KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan menubuhkan sayap khas untuk belia dengan keahlian berusia antara 18 hingga 28 tahun di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, nama sayap itu akan diputuskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PBB yang diadakan pada Jun nanti.
“Disebabkan itu, PBB akan meminda perlembagaan parti susulan cadangan untuk mewujudkan sayap berkenaan malah satu jawatankuasa khas turut ditubuhkan untuk meneliti penubuhan sayap berkenaan.
“Ini kerana kita menginginkan mereka (belia) bersama-sama membantu menguruskan masyarakat, bukan sahaja golongan muda, usia pertengahan tetapi juga golongan tua (warga emas),” katanya yang juga Presiden PBB.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kali Ke-13 di Pusat Borneo Konvensyen Kuching (BCCK) di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) menambah, Sarawak juga akan menghadapi penduduk yang semakin tua (aging population) dan penting untuk melihat keperluan terhadap golongan muda.
Ini kerana katanya, dunia kini sudah berubah ke arah era digital dan kehendak belia turut berubah seiring dengan kehendak masyarakat yang berteraskan teknologi masa kini.
Dalam pada itu katanya, PBB juga merupakan parti yang dinamik dan disebabkan itu ahli parti sentiasa menyesuaikan diri dengan aspirasi golongan muda dan rakyat kerana PBB itu berteraskan keadaan politik dan dasar ekonomi semasa.
Turut hadir, Timbalan-Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Pengerusi Tetap PBB, Tan Sri Datuk Amar Awang Asfia Awang Nassar, Naib Yang Dipertua Kanan PBB, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Setiausaha Agung PBB, Dato Sri Alexander Nanta Linggi.
Oleh SYAMIMI HUSNA