
NEW YORK: Seorang jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu menolak dakwaan Israel bahawa badan dunia itu gagal mengambil bekalan bantuan kemanusiaan untuk Gaza di lintasan sempadan, lapor Xinhua.
Jurucakap Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, Stephane Dujarric berkata petugas kemanusiaan PBB di Gaza terus mempertaruhkan nyawa mereka untuk mengambil bantuan dari Kerem Shalom/Karem Abu Salem, satu-satunya lintasan sempadan yang dibuka ketika ini.
Beliau membuat kenyataan itu sebagai respons terhadap dakwaan Duta Israel ke PBB Danny Danon yang mendakwa bahawa PBB telah gagal mengambil lebih 400 muatan trak bantuan di bahagian Gaza lintasan sempadan berkenaan.
Dujarric sebaliknya menegaskan bahawa kakitangan PBB di Gaza “tidak berdiam diri.”
“Rakan sekerja Palestin kami di Gaza sedang dalam keadaan putus asa kerana mereka sendiri bimbang dari mana makanan mereka seterusnya akan datang.
“Mereka tidak berpeluk tubuh, begitu juga rakan-rakan antarabangsa yang terus keluar masuk Gaza,” katanya.
“Mereka terus mempertaruhkan nyawa demi mengambil bantuan dari satu-satunya lintasan sempadan yang dibuka.”
Dujarric menjelaskan bahawa mengambil bantuan dari bahagian Gaza adalah amat sukar.
“Apa yang berlaku ialah kami menyerahkan senarai barangan yang mahu dibawa masuk ke Gaza. Pihak Israel akan memutuskan barangan mana yang diluluskan.
“Trak itu kemudiannya masuk dari bahagian Israel ke Kerem Shalom. Barangan perlu dimuatkan ke dalam trak ‘steril’ terlebih dahulu,” katanya.
“Jadi itu sendiri sudah mengambil masa. Selepas itu, barangan perlu dipindahkan ke trak Palestin. Untuk membolehkan kami mengambil barangan itu, kami perlu dapatkan kebenaran daripada pihak Israel.”
Menurut Dujarric, semua permohonan misi yang dibuat PBB pada Rabu telah ditolak oleh pihak berkuasa Israel.
“Jika kami tidak dapat mengambil barangan itu, satu perkara yang boleh saya katakan ialah: ia bukan kerana kami tidak mencuba,” katanya.
Ketika ditanya sama ada PBB percaya Israel sengaja menyekat usaha bantuan kemanusiaan PBB, jurucakap itu menjawab, “Anda perlu tanya mereka apa motif mereka. Tetapi apa yang pasti, mereka memang tidak memudahkan urusan kami.”
Dujarric turut mencabar pihak berkuasa Israel supaya membenarkan media antarabangsa masuk ke Gaza untuk melihat sendiri situasi sebenar.
“Satu daripada cara untuk merungkai naratif berlawanan yang anda dengar ialah dengan membenarkan wartawan antarabangsa masuk ke Gaza. Jadi semua pihak — anda dan organisasi anda — boleh melihat dengan mata anda sendiri,” katanya. — Bernama-Xinhua