KONVENSYEN Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) hari ini, mencatat sejarahnya tersendiri kerana diadakan ketika negara dan negeri ini sedang berdepan dengan ancaman pandemik Covid-19.
Fokus serta matlamat utama konvensyen ialah sebagai persiapan pemimpin dan ahli parti di semua peringkat bagi menghadapi pilihan raya negeri yang akan datang.
Konvensyen sehari yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, merupakan susulan dan kemunak dari siri Konvensyen Khas PBB di peringkat zon yang diadakan bermula pada September lalu.
Abang Johari, yang juga Presiden PBB, akan menyampaikan ucaptama dan dijangka membuat beberapa pengumuman panting.
Menurut jawatankuasa pengelola, sekitar 1,500 perwakilan parti terutama dari kawasan selatan Sarawak akan hadir dan Konvensyen tersebut merupakan perjumpaan yang amat penting dalam diari PBB menjelang pilihan raya.
Paling mencuri tumpuan dan ditunggu-tunggu oleh perwakilan dan pemerhati yang hadir pastinya ucapan serta amanat Abang Johari.
Selaku Presiden PBB dan Pengerusi Parti Gabungan Sarawak (GPS), amanat serta pandangan yang beliau lontarkan sebagai seorang tokoh politik, pasti dinanti-nantikan, terutama dalam PBB mendepani senario politik ketika ini.
Jika sebelum ini, pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) Abang Jo mengemudi GPS berdepan dengan bukan sahaja senario berpolitiknya atau kempen berbeza, malah ‘perencahnya’ juga berbeza.
Bagaimanapun, pada pilihan raya negeri ke-12 (PRN-12) kelak, Abang Jo yang mengemudi PRN buat pertama kalinya pasti akan berdepan dengan cabaran yang cukup getir untuk mempertahankan 72 daripada 82 kerusi yang telah dimenangi ketika membentuk kerajaan pada PRN 2016.
Apa yang pasti, semangat perjuangan mesti ditiupkan oleh Abang Jo, yang mahu melihat Bumi Kenyalang maju dan membangun.
Daripada segi pengisian program, sebelah pagi akan ada Sesi Perkongsian Strategik bersama beberapa orang wakil rakyat PBB, yang disusuli oleh tips persediaan menghadapi pilihan raya dan penerimaan usul.
Sebelah petangnya, akan diadakan majlis perasmian oleh Abang Johari, di samping beberapa acara selingan lain seperti lafaz ikrar sebelum majlis pelancaran buku ‘ Wing Of Change The Wanita PBB Journey’.
Bak kata pepatah, ‘dayung sudah di tangan, perahu sudah di air’. Semoga segalanya berjalan lancar, rakyat Sarawak terus dipimpin oleh kerajaan yang kukuh dan stabil sekali gus bagi memastikan sasaran negeri maju menjelang 2030 dapat dicapai.