
SIMBOLIK… Datuk Amar Douglas Uggah Embas ketika simbolik perasmian Perhimpunan Agung ke-16 Pergerakan Wanita dan Pemuda PBB Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.
PETRA JAYA: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) perlu bersedia menghadapi pola baharu pengundi berikutan pelaksanaan sistem pendaftaran pemilih automatik.
Timbalan Presidennya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, peningkatan jumlah pengundi di Sarawak menuntut strategi lebih menyeluruh dalam mendekati mereka, khususnya golongan belia.
“Kita berdepan dengan corak pengundi baharu dengan sistem pendaftaran automatik.
“Pada 2022, jumlah pengundi Sarawak meningkat 59.4 peratus, iaitu seramai 1,945,074 orang. Pada 2024 pula, bilangan pengundi meningkat kepada 2,008,347 pengundi.
“Daripada jumlah tersebut, 50.17 peratus atau 1,007,514 pengundi adalah lelaki, manakala 49.83 peratus atau 1,000,833 pula adalah wanita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Perhimpunan Agung ke-16 Pergerakan Wanita dan Pemuda PBB di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Uggah yang juga Timbalan Premier Sarawak turut menekankan kepentingan pengundi muda, terutamanya mereka yang berusia antara 18 hingga 39 tahun, yang kini merangkumi 48.27 peratus daripada keseluruhan pengundi di Sarawak.
“Bagi kategori pengundi berusia 18 hingga 20 tahun, kita kini merekodkan 129,612 pengundi kali pertama.
“Sementara itu, bagi mereka yang berusia 21 hingga 39 tahun, jumlahnya mencecah 839,910 orang,” katanya.
Pada masa sama, beliau juga mengingatkan sayap Wanita, Pemuda, dan Belia PBB untuk memainkan peranan aktif dalam mendekati golongan ini serta menyedarkan mereka mengenai peranan besar dalam pembangunan parti dan Sarawak.
“Kepada Pemuda dan Belia, sila ambil perhatian terhadap kumpulan umur ini. Undi golongan muda sangat penting bagi kejayaan serta kesinambungan parti.
“Saya menyeru pihak golongan belia agar sentiasa turun padang dan bersikap inklusif dalam merangkul penyertaan generasi muda, yang bakal menjadi pewaris kepimpinan negeri,” katanya.
Katanya, PBB dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus menjadi benteng utama kemakmuran negeri, tanpa gentar terhadap sebarang rintangan politik.
“Ayuh! Wanita, Pemuda, dan Belia PBB, bersatulah bersama kepimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Bersama-sama kita pastikan PBB terus menjadi tonggak kemakmuran, kemajuan, dan kelestarian Sarawak,” katanya.
Oleh Mohd Neenatul Aizal