
SIMANGGANG: Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, menegaskan komitmen parti untuk terus memperkukuh perancangan strategik dan memastikan kesinambungan perjuangan menerusi Mesyuarat PBB Cawangan Lingga Bil. 1/2026 di sini, semalam.
Mesyuarat yang berlangsung di sini membincangkan agenda utama termasuk perkara-perkara berbangkit serta persiapan aktiviti sepanjang 2026.
Ia turut menjadi platform bagi ahli-ahli parti untuk mengemukakan cadangan serta pandangan dalam mempertingkatkan keberkesanan pelaksanaan program parti.
Dayang Noorazah, yang mempengerusikan mesyuarat itu, menggesa semua ahli agar terus mengekalkan semangat juang dalam membawa perubahan positif kepada masyarakat.

Beliau menekankan kepentingan mendengar suara rakyat di peringkat akar umbi untuk memastikan setiap dasar dan program parti selaras dengan kehendak komuniti.
“Sebagai ahli PBB, kita mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan parti terus relevan dan sentiasa memberikan impak positif kepada masyarakat.
“Peranan ahli di peringkat cawangan sangat penting dalam menjayakan setiap inisiatif yang dirancang,” katanya.
Selain itu, mesyuarat turut membincangkan perancangan program kebajikan, pembangunan komuniti serta aktiviti yang melibatkan penyertaan generasi muda bagi memperkukuh jaringan parti di peringkat akar umbi.
Dayang Noorazah menegaskan bahawa kesinambungan perjuangan parti tidak hanya bergantung kepada kepimpinan atasan, malah memerlukan kerjasama semua ahli untuk menjayakan agenda pembangunan serta kesejahteraan rakyat.
Mesyuarat PBB Cawangan Lingga kali ini diakhiri dengan penekanan agar setiap ahli terus komited, berdisiplin, dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dalam setiap tindakan dan keputusan yang dibuat sepanjang 2026.
Oleh Adi Safarman