SIBU: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) perlu memberi tumpuan kepada usaha melatih bakat kepemimpinan dalam kalangan belia.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga Presiden PBB berkata ini bagi memastikan kesinambungan kepemimpinan.
“Sebagai parti dominan dalam politik negeri Sarawak, PBB mempunyai tanggungjawab memastikan kesinambungan dengan melibatkan generasi muda dalam proses kepemimpinan.
“Latihan awal kepada golongan belia ini adalah langkah penting dalam melahirkan pemimpin masa depan yang akan terus menyumbang melalui sayap Wanita dan Pemuda parti sebelum melangkah ke tampuk kepemimpinan tertinggi.
“Dengan pendedahan dan latihan berkualiti, kepemimpinan parti serta negeri dapat diperkukuh untuk menghadapi cabaran masa depan,” katanya semasa melancarkan Sayap Belia PBB di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Abang Johari berkata sayap belia dalam PBB akan memberi peluang kepada golongan muda berumur antara 18 hingga 28 tahun untuk menjadi ahli dan menyumbang bukan sahaja kepada pembangunan parti, tetapi juga Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Beliau menegaskan pentingnya input daripada golongan belia dalam merancang dasar-dasar komprehensif untuk rakyat Sarawak.
“Lebih 60 peratus populasi Sarawak adalah mereka yang berumur 55 tahun ke bawah, dan masa depan negeri akan melibatkan rakyat serta pengundi yang lebih cerdik dan berpengetahuan.
“Ini akan membantu kita dalam merangka dasar-dasar pembangunan ekonomi dan sosial, termasuk faktor tatakelola seperti ESG (elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus) yang kini menjadi kehendak global,” katanya.
Abang Johari juga menyentuh mengenai perancangan Kerajaan Persekutuan untuk melancarkan satelit di Sarawak.
Katanya, Sarawak ada syarikat di bawah kerajaan yang dilesenkan untuk melancarkan satelit bernama Angkasa.
“Jadi, disebabkan Sarawak telah dipilih, maka kita mesti ada melatih anak muda yang dilatih dalam aero angkasa.
“Insya-Allah lusa saya akan melancarkan pendidikan dalam sektor aero angkasa,” katanya.
Oleh TARANI LANTING dan AKUN GIMAN