


KUCHING: Kebanyakan jawatan kanan dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bagi sayap Pesaka tidak ditandingi pada perhimpunan agung parti itu Sabtu dan Ahad ini.
Ia bermula dari jawatan Timbalan Presiden yang disandang oleh Datuk Amar Douglas Uggah Embas. Satu lagi disandang oleh wakil Bumiputera, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Ini disusuli, Naib Presiden Kanan, yang dimenangi Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom bagi sayap Pesaka tanpa dicabar. Sayap Bumiputera diwakili Dato Sri Fadillah Yusof, juga menang tanpa bertanding.
Tiga jawatan Naib Presiden bagi sayap Pesaka juga dimenangi tanpa dicabar dan terus kekal disandang oleh Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Datuk Gerawat Gala dan Dato Gerald Rentap Jabu.
Ini berdasarkan senarai pencalonan yang diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PBB, Dato Awang Bemee Awang Ali Basah semalam.
Bagaimanapun, persaingan berlaku untuk merebut 14 jawatan Majlis Tertinggi (MT) bagi sayap Pesaka dengan penampilan 19 calon.
Ini termasuk dua Timbalan Menteri – Datuk Jefferson Jamit dan
Datuk Dr Jerip Susil serta tiga Ahli Parlimen Datuk Willie Mongin (Puncak Borneo), Dato Henry Sum Agong (Lawas) dan Dato Dr Richard Rapu (Betong) selain Senator Michael Mujah Lihan.
Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut bersaing iaitu Dato Palu @Paulus Gumbang (Batu Danau), Dato Dennis Ngau (Telang Usan), Lidam Assan (Katibas), John Ilus (Bukit Semuja) dan Dr Simon Sinang Bada (Tebedu).
Yang lain ialah Henry Kilah Talek, Dato Daniel Jubang Kanyan, Lesley Luyoh Akah, Jawan Nyaun, Jampi Tutong, Kalang Jok, Leonard Jambu dan James Agat Diggat.
Dalam PBB wujud konsensus di antara sayap Bumiputera dan Pesaka berikutan gabungan dua parti itu pada 1973.
Percantuman itu berlaku antara Parti Bumiputera dan Parti Pesaka Anak Sarawak (Pesaka), menjadikan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sekarang.
Asalnya parti Bumiputera adalah gabungan antara Parti Barisan Rakyat Jati Sarawak (Barjasa) yang ditubuhkan pada 1961 dan Parti Negara Sarawak (Panas) yang diasaskan pada 1960. Secara rasmi parti Bumiputera lahir pada 1968.
Dengan konsensus dalam PBB, maka tidak berlaku pertembungan dalam pemilihan antara sayap Bumiputera yang diwaklli Melayu-Melanau dan Pesaka, diwakili kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu.
Masing-masing sayap ada saluran tersendiri tetapi bila mengundi, semua akan mengundi bagi setiap jawatan dipertandingkan tak kira untuk calon sayap Bumiputera atau Pesaka.
Oleh KADIR DIKOH