WASHINGTON: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui Setiausaha Agungnya Antonio Guterres pasa Selasa menggesa supaya menghentikan pertempuran di wilayah Nagorno-Karabakh, lapor Agensi Anadolu.
Anggota majlis dalam satu kenyataan “menyatakan kebimbangan terhadap laporan tindakan ketenteraan berskala besar di sepanjang sempadan di zon konflik Nagorno-Karabakh.”
“Mereka mengutuk kekerasan yang digunakan dan amat kesal dengan kehilangan nyawa orang awam,” tambah mereka.
“Anggota Majlis Keselamatan menyatakan sokongan penuh mereka kepada peranan Pengerusi Bersama Kumpulan Minsk OSCE dan mendesak pihak-pihak berkaitan bekerjasama rapat dengan mereka untuk menyambung segera dialog tanpa syarat.”
Pertembungan di sempadan itu berlaku pada Ahad pagi.
Hubungan antara Armenia dan Azerbaijan, dua bekas negara Kesatuan Soviet, tegang sejak 1991 apabila tentera Armenia menduduki wilayah tersebut, yang diakui sebagai wilayah Azerbaijan di peringkat antarabangsa.
Empat resolusi Majlis Keselamatan PBB dan dua resolusi Perhimpunan Agung PBB menuntut penarikan pasukan penceroboh.
Kumpulan OSCE Minsk – yang dipengerusikan bersama oleh Perancis, Rusia dan AS – dibentuk pada 1992 untuk mencari jalan damai kepada konflik, tetapi tidak berhasil. Gencatan senjata, bagaimanapun, disepakati pada 1994. Perancis, Rusia dan NATO, antara lain, meminta segera menghentikan pertempuran di wilayah yang dicerobohi. – Bernama