
SARIKEI: Majlis ramah tamah Aidilfitri bersama pemimpin anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Repok menjadi medium penting mempererat hubungan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat pelbagai kaum.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii, berkata ia memainkan peranan penting dalam memperkukuh perpaduan dan menyemai semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
“Saya juga ingin merakamkan penghargaan khusus kepada Ahli Parlimen Igan yang juga Ketua PBB Cawangan Repok, Ahmad Johnie Zawawi.
“Di bawah kepimpinan beliau, PBB Cawangan Repok terus kekal kukuh, bersatu dan relevan dalam memperjuangkan nasib rakyat.

“Komitmen beliau yang tidak pernah jemu turun padang dan mendekati akar umbi jelas mencerminkan keikhlasan serta dedikasi tinggi dalam berkhidmat,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut, bertempat di Dewan Serbaguna Kampung Baru Seberang Sarikei, malam tadi.
Tambahnya yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, kepimpinan negeri di bawah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg terus memainkan peranan penting dalam membawa pembangunan yang inklusif dan berimpak tinggi kepada rakyat khususnya di kawasan Repok dan Parlimen Sarikei.
“Sehubungan dengan itu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas jasa dan kepimpinan beliau yang telah membawa perubahan besar kepada pembangunan di Sarikei.

“Di bawah pimpinan beliau, pelbagai projek infrastruktur seperti pembinaan dan naik taraf jalan raya, jambatan dan kemudahan asas telah berjaya dilaksanakan, sekali gus mempertingkatkan jaringan perhubungan dan keselesaan rakyat.
“Selain itu, penubuhan agensi seperti Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) turut menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat, khususnya dalam sektor pertanian, pelancongan, industri dan pelaburan,” katanya.
Katanya, pendekatan strategik ini jelas mencerminkan visi kepimpinan yang berpandangan jauh dalam memacu Sarawak ke arah pembangunan yang lebih moden, seimbang dan mampan.
Pada majlis sama, Tiong Sii turut menyumbangkan sebanyak RM30,000 kepada PBB Cawangan Repok untuk menjalankan aktiviti tahunan.
Oleh Earl Anek