
LAWAS: Pusat Khidmat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Sari Lawas menghulurkan sumbangan awal kepada sebuah keluarga yang terjejas akibat kejadian angin kencang dan ribut di daerah ini.
Setiausaha PBB Cawangan Bukit Sari, Awang @ Ibrahim Ahmad berkata, penyerahan sumbangan tersebut diadakan di Pejabat Pusat Khidmat PBB Cawangan Bukit Sari Lawas hari ini.
Menurutnya, kejadian angin kencang dan ribut yang melanda Lawas pada Sabtu lalu telah menyebabkan kediaman keluarga berkenaan mengalami kerosakan.
“Kita telah memaklumkan perkara ini kepada Ketua Cawangan PBB Bukit Sari yang juga Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
“Beliau mengarahkan pusat khidmat supaya menghulurkan sumbangan awal kepada mangsa bagi membantu keluarga yang terjejas meneruskan kehidupan seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bantuan itu diharap dapat meringankan beban keluarga berkenaan sementara menunggu bantuan susulan daripada agensi berkaitan.




