
SIBU: Pergerakan Pro-tem Belia Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N.73 Piasau menggesa Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, supaya memohon maaf secara terbuka berhubung kenyataan beliau mengenai tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Sarawak yang didakwa mengelirukan dan tidak berasaskan fakta.
Pengerusi pro-temnya, Mohammad Aniq Ashwin Abuzar berkata, kenyataan tersebut bukan sahaja menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan negeri, malah boleh mencetuskan ketegangan dalam kalangan komuniti peribumi.
“Sebagai tokoh politik kerajaan perpaduan, beliau seharusnya lebih teliti dan bertanggungjawab apabila menyentuh isu sensitif seperti NCR yang melibatkan sejarah, undang-undang dan budaya masyarakat peribumi Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas laporan media yang memetik Nurul Izzah sebagai menggesa kerajaan mempercepatkan proses pengukuran serta pemberi milikan tanah NCR di Sarawak, dan menghentikan pemberian permit baharu di kawasan yang masih dipertikaikan statusnya.
Menurut Mohammad Aniq, kenyataan tersebut mencerminkan kurangnya pemahaman terhadap sistem pentadbiran dan undang-undang tanah di Sarawak.
“Kod Tanah Sarawak (Cap. 81) telah mengiktiraf hak peribumi ke atas tanah ‘Temuda’ (yang telah diusahakan), ‘Pulau Galau’ (hutan komuniti) dan ‘Pemakai Menua’ (kawasan adat) berdasarkan syarat tertentu. Sehingga 2024, lebih 1.5 juta hektar tanah telah dikenal pasti sebagai tanah NCR melalui proses sah dan telus,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan Nurul Izzah perlu memohon maaf secara terbuka kepada Premier Sarawak dan rakyat Sarawak. Jika gagal, beliau mencadangkan agar larangan memasuki Sarawak dikenakan ke atas Nurul Izzah untuk tempoh yang tidak ditentukan.
Mohammad Aniq turut mengimbas insiden pada 2015 apabila Nurul Izzah pernah dihalang memasuki Sarawak susulan kenyataan awamnya yang dianggap bertentangan dengan kepentingan negeri.
“Melihat kepada kecuaian dalam kenyataan kali ini, kami mencadangkan larangan masuk dikenakan sehingga beliau memohon maaf dan mengakui kenyataan terdahulu tidak tepat,” katanya.
Beliau juga mencadangkan Nurul Izzah menyertai misi pencarian fakta ke Sarawak yang dikendalikan oleh pemimpin komuniti peribumi, pakar undang-undang serta agensi kerajaan bagi memahami konteks sebenar isu tanah NCR.
“Tindakan ini bukan bermotifkan politik, sebaliknya demi menjaga maruah negeri, kepercayaan rakyat dan keharmonian Sarawak,” tambah beliau.
Oleh Tarani Lanting