
LAWAS: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Ba’kelalan akan menganjurkan sambutan Pra Krismas pada 12 Disember ini.
Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, berkata perayaan Krismas menjadi wadah penyatuan masyarakat selain meraikan kebebasan mengamalkan agama masing-masing di negara ini.
“Ini adalah perayaan kita bersama, sama seperti Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Gawai dan lain-lain yang menjadi landasan mengukuhkan hubungan masyarakat majmuk di negara ini, khususnya di Sarawak.
“Bagi kita di Lawas dan Sarawak amnya, kepelbagaian perayaan bukanlah perkara asing kerana ramai antara kita mempunyai keluarga berbilang kaum hasil perkahwinan campur.
“Sama juga dengan saya yang mempunyai sepupu berbangsa Melayu di Trusan kerana perkahwinan campur, dan ini tidak menghalang kita untuk bersama sebagai sebuah keluarga besar,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat persiapan sambutan Pra Krismas Daerah Lawas di pejabat beliau, hari ini.
Henry Sum Agong, yang juga Ketua Cawangan PBB Ba’kelalan, memaklumkan bahawa majlis tersebut akan dihadiri Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, selaku tetamu kehormat bersama pemimpin lain dari Bahagian Limbang.
Majlis itu turut dijangka dihadiri semua jawatankuasa Cawangan dan Ranting PBB Cawangan Ba’kelalan dan Bukit Sari, Lawas.
Oleh Adeng Edrus