PARTI Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) merupakan tulang belakang politik Sarawak sejak penubuhannya pada 1973.
Kini menjadi komponen utama Gabungan Parti Sarawak (GPS).
PBB memainkan peranan penting dalam memperjuangkan hak keistimewaan negeri Sarawak, terutamanya berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Sebagai sebuah parti politik yang juga bertindak sebagai aktivis, PBB memperjuangkan kepentingan masyarakat Bumiputera Sarawak seperti Melayu, Melanau, dan Dayak, selain berusaha membawa kemajuan ekonomi, sosial dan politik kepada negeri ini.
Peranan PBB bukan sekadar dalam pentadbiran, tetapi turut mencerminkan sifat aktivisme yang bertujuan untuk mengangkat hak-hak rakyat.
MAKNA POLITIK, AKTIVISME
Dalam konteks PBB, politik dan aktivisme saling berkait rapat.
Politik merujuk kepada proses membuat keputusan yang memberi impak kepada masyarakat, manakala aktivisme adalah tindakan proaktif dalam memperjuangkan keperluan masyarakat.
Sebagai sebuah parti politik berteraskan masyarakat Bumiputera, PBB menggunakan pendekatan aktivisme politik untuk memastikan suara rakyat Sarawak didengar, terutama di peringkat nasional.
Antara fokus utama aktivisme PBB adalah menuntut pelaksanaan penuh hak-hak di bawah MA63.
Aspek ini termasuk kawalan ke atas hasil sumber asli seperti minyak dan gas serta autonomi yang lebih besar dalam bidang pentadbiran, pendidikan, dan kesihatan.
PBB juga bertindak sebagai penggerak utama dalam isu pembangunan infrastruktur luar bandar, memperjuangkan hak tanah adat Bumiputera (NCR), serta meningkatkan taraf ekonomi rakyat.
Melalui pendekatan ini, politik PBB tidak hanya berkisar kepada kuasa dan pemilihan tetapi juga advokasi terhadap isu-isu rakyat yang nyata.
PERANAN AKTIVISME
Aktivisme di Sarawak, terutamanya yang digerakkan oleh PBB, boleh dikategorikan kepada empat dimensi utama – sosial, ekonomi, budaya, dan autonomi politik.
Dalam aktivisme sosial, fokus utama adalah meningkatkan kebajikan masyarakat Bumiputera, termasuk mempertahankan tanah NCR dan mempercepat pembangunan luar bandar.
Usaha ini bertujuan memastikan keperluan asas seperti infrastruktur dan akses kepada perkhidmatan awam dapat dipenuhi.
Aktivisme ekonomi pula diusahakan oleh PBB ialah dengan menumpukan usaha meningkatkan taraf hidup rakyat melalui pelaburan dalam sektor pertanian, industri, dan perniagaan kecil.
Kempen memperkasakan ekonomi Bumiputera juga termasuk menyediakan peluang pekerjaan dan pelaburan di kawasan pedalaman.
AKTIVISME BUDAYA, IDENTITI
Sebagai penjaga warisan unik Sarawak, PBB memainkan peranan penting dalam mempertahankan hak adat dan budaya masyarakat pribumi, seperti bahasa, tradisi dan adat istiadat.
Aktiviti seperti sambutan perayaan tradisional dan program pemuliharaan budaya sering dianjurkan sebagai usaha melindungi identiti Sarawak daripada dilenyapkan oleh globalisasi.
Aktiviti ini lazimnya dilakukan oleh badan bukan kerajaan (NGO) yang bekerjasama rapat dengan pimpinan PBB.
Dalam aktivisme autonomi politik, PBB memperjuangkan hak autonomi Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.
Dalam hal ini, PBB terus mendesak Kerajaan Persekutuan untuk menunaikan janji-janji yang termaktub dalam MA63.
Tuntutan seperti kawalan terhadap sumber asli dan keupayaan mentadbir secara bebas dalam bidang tertentu seperti pendidikan dan imigresen menjadi keutamaan parti ini.
Melalui keempat-empat kategori ini, PBB telah berjaya membentuk dirinya sebagai parti politik yang mendahulukan keperluan dan aspirasi rakyat, sambil memperjuangkan hak autonomi Sarawak secara strategik.
SUMBANGAN AKTIVISME DALAM POLITIK SARAWAK, MALAYSIA
Sumbangan PBB terhadap politik Sarawak sangat signifikan, terutamanya dalam memastikan kestabilan politik negeri ini.
Sebagai parti dominan dalam GPS, PBB telah berjaya mengekalkan perpaduan dalam pentadbiran negeri, sekali gus membolehkan kerajaan negeri memberi tumpuan kepada pembangunan dan hak rakyat.
Salah satu kejayaan terbesar ialah perjuangan PBB untuk mendapatkan kawalan lebih besar terhadap sumber asli Sarawak.
Aktivisme konsisten parti ini telah membawa kepada pemulangan hak tertentu yang sebelum ini diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan, termasuk kawalan terhadap cukai jualan minyak dan gas.
Kejayaan ini membuktikan keupayaan PBB sebagai suara yang kuat untuk Sarawak di peringkat nasional.
Dalam konteks pembangunan, PBB berperanan penting dalam memperkasakan kawasan luar bandar Sarawak.
Program seperti pembinaan jalan raya, bekalan elektrik, air bersih dan pelaburan dalam sektor pertanian moden telah membawa perubahan besar kepada rakyat luar bandar.
Pendekatan ini menonjolkan usaha aktivisme PBB yang meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan.
Di peringkat nasional, PBB turut memainkan peranan sebagai pengimbang kuasa.
Melalui GPS, PBB memastikan hak dan suara Sarawak sentiasa diwakili, terutama dalam situasi politik tidak menentu seperti selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Keupayaan ini mengukuhkan kedudukan PBB sebagai pendukung kestabilan politik Malaysia.
ISU-ISU TERKINI
Walaupun PBB telah mencatat banyak kejayaan, parti ini menghadapi beberapa isu yang perlu diberi perhatian segera.
Salah satu isu utama ialah pelaksanaan penuh MA63, di mana masih terdapat perkara yang belum diselesaikan, termasuk pembahagian hasil minyak dan gas secara adil.
Isu ini menjadi tumpuan utama rakyat Sarawak yang menuntut hak negeri dipulihkan sepenuhnya.
Selain itu, isu tanah adat (NCR) terus menjadi cabaran utama.
Walaupun PBB memperjuangkan hak tanah adat, terdapat rakyat, khususnya daripada komuniti Dayak, yang merasakan usaha tersebut masih belum mencukupi.
Ketidakpuasan ini jika tidak ditangani boleh menjejaskan sokongan terhadap PBB. Generasi muda Sarawak juga semakin menuntut perhatian.
Mereka lebih prihatin terhadap isu-isu seperti perubahan iklim, pendidikan berkualiti dan peluang pekerjaan.
PBB perlu memastikan pendekatan politiknya kekal relevan dengan kehendak generasi ini, yang sering mencari penyelesaian yang progresif dan inklusif.
CABARAN DAN MASA DEPAN
Sebagai parti yang lama memerintah, cabaran terbesar PBB ialah memastikan ia kekal relevan dalam dunia politik yang semakin kompleks.
Pendigitalan, kecekapan dan ketelusan kini menjadi keutamaan dalam pentadbiran moden dan PBB perlu terus menyesuaikan diri dengan perubahan ini.
Sokongan akar umbi terhadap kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang sentiasa memperkenalkan teknologi baharu dan budaya digital adalah penting bagi memastikan kejayaan agenda pembangunan parti.
Kadangkala pemikiran ke hadapan beliau sukar diikuti bagi mereka yang masih selesa dengan gaya lama.
Cabaran lain ialah memastikan PBB terus mewakili semua lapisan masyarakat Bumiputera Sarawak, termasuk komuniti Dayak.
Dalam keadaan tertentu, terdapat isu sensitif seperti tanah adat yang boleh memecahbelahkan sokongan etnik jika tidak ditangani secara inklusif.
Masa depan PBB bergantung kepada keupayaannya menangani cabaran-cabaran ini dengan berkesan.
Memperkukuhkan hubungan dengan generasi muda, memodenkan pendekatan politik, dan terus memperjuangkan hak autonomi Sarawak adalah langkah penting bagi memastikan kelangsungan dan kekuatan parti ini.
KESIMPULAN
Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bukan sahaja sebuah parti politik dominan di Sarawak, tetapi juga sebuah parti aktivis yang telah memberi impak besar kepada rakyat negeri ini.
Melalui perjuangan hak istimewa Sarawak, pembangunan luar bandar dan pembelaan hak tanah adat, PBB telah menunjukkan komitmen kepada rakyat.
Namun, cabaran seperti pemulihan penuh MA63, isu tanah adat dan menarik sokongan generasi muda perlu ditangani secara serius.
Sekiranya PBB mampu menyesuaikan diri dengan perubahan zaman sambil mengekalkan asas perjuangannya, parti ini berpotensi kekal sebagai kuasa utama dalam politik Sarawak dan Malaysia.
- Datuk Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasidan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL.