Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • PBAKL: Sesi temu mesra penulis-pembaca cipta momen bermakna
  • SEMASA

PBAKL: Sesi temu mesra penulis-pembaca cipta momen bermakna

Utusan Sarawak 3 days ago

KUALA LUMPUR: Dalam era dominasi buku digital dan media sosial, sesi temu mesra bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) membuktikan bahawa penulis tempatan masih mempunyai tempat istimewa di hati pembaca, menunjukkan interaksi bersemuka kekal relevan dalam dunia serba moden.

Buktinya, beberapa reruai penulis popular dibanjiri peminat sejak awal pagi bagi mendapatkan tandatangan serta bergambar bersama-sama dengan penulis kegemaran seterusnya mencipta memori peribadi yang sukar diganti.

Sambutan luar biasa ini membuktikan bahawa hubungan secara langsung antara penulis dan pembaca bukan sekadar tradisi, tetapi ruang interaksi bermakna yang meninggalkan kesan mendalam.

Novelis Anuar Darwisy, 31, berkata sesi itu bukan sekadar aktiviti promosi, sebaliknya merupakan ruang penting untuk membina hubungan emosi dan menzahirkan penghargaan kepada pembaca setia.

Menurutnya, kehadiran peminat termasuk dari luar negara seperti Singapura, membuktikan hubungan yang terjalin tidak hanya terhenti di halaman buku, tetapi berkembang menjadi ikatan yang lebih mendalam dan bermakna.

“Mereka (pembaca) boleh sahaja beli buku secara dalam talian, tetapi mereka sanggup datang dari jauh semata-mata untuk berjumpa, bergambar dan mengambil tandatangan. Semua itu membina ‘bonding’ yang tulen antara penulis dan pembaca, itu yang buat saya rasa sangat bersyukur.

“Mereka bukan sekadar pembaca, malah kadang-kadang saya anggap seperti keluarga sendiri. Hubungan ini sudah lebih daripada sekadar penulis dan pembaca kerana ia telah menjadi satu bentuk silaturahim,” katanya yang berkecimpung dalam bidang penulisan novel sejak 15 tahun lepas.

Anuar yang tampil dengan novel seram terbaharu berjudul Aura: Aku Akan Merasukmu terbitan Kaki Novel, berkata sesi seperti itu juga menjadi ruang dua hala bagi penulis mendapatkan maklum balas secara langsung.

Bagi Novelis Leesophielia yang pertama kali menyertai sesi temu mesra bersempena dengan PBAKL mengakui pengalaman itu bukan sekadar peluang untuk memberi tandatangan, sebaliknya menjadi jambatan penting yang merapatkan hubungan antara penulis dan pembaca.

“Sesi seumpama ini membantu mengeratkan lagi hubungan sebab biasanya pembaca hanya kenal nama, bukan wajah. Bila berjumpa depan-depan, ada juga yang beri surat dan hadiah. Itu semua sangat menyentuh hati,” kata penulis novel Razia itu.

Beliau yang telah menghasilkan tiga buah novel dengan dua daripadanya secara kolaboratif bersama-sama penulis lain mengakui sesi temu mesra itu masih kekal relevan meskipun dunia kini lebih cenderung ke arah digital.

Sementara itu, bagi pembaca setia Nurul Hamizah Mohd Afandi, 26, setiap sesi temu mesra dengan penulis kegemaran bukan sekadar pertemuan biasa sebaliknya satu kenangan berharga yang tersimpan kemas dalam ingatan.

Penganalis perniagaan itu yang datang dari Cheras, Selangor, berkata kesetiaannya terhadap penulis novel Anuar Darwisy bermula pada zaman sekolah menengah sekitar 2013 kerana tertarik dengan gaya penceritaannya yang penuh kejutan.

“Setiap tahun kalau ada sesi seperti ini, jika tiada apa-apa hal, saya pasti akan datang. Semua koleksi bukunya juga saya simpan hingga hari ini.

“Semua buku dia bukan sekadar hiburan kerana setiap kali membaca, saya pasti akan belajar sesuatu secara santai. Itu yang buat saya terus setia padanya,” katanya yang sanggup beratur seawal 7.00 pagi demi mendapatkan giliran awal dalam sesi tersebut.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur berlangsung mulai 23 Mei lepas hingga 1 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dari 10.00 pagi hingga 10.00 malam.– Bernama

Continue Reading

Previous: Ahmad Zahid Hamidi tiba di Kuching untuk lawatan kerja rasmi
Next: Kaamatan, Gawai lambang perpaduan dan keharmonian rakyat – Ahmad Zahid

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.