
KUALA LUMPUR: Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) dan Ant International memperluas kerjasama melalui memorandum persefahaman (MoU) baharu untuk membolehkan pembayaran antarabangsa bagi kod respons pantas (QR) Malaysia, DuitNow QR, melalui gerbang dompet global Alipay+.
Syarikat-syarikat itu menerusi satu kenyataan bersama berkata kerjasama tersebut memberi tumpuan kepada empat teras utama iaitu memacu sektor pelancongan melalui pembayaran digital rentas sempadan, memperkukuh sistem keselamatan terhadap penipuan, pembangunan bakat, serta memperkasakan agenda kelestarian
Menerusi kerjasama itu, pengembara Malaysia bakal menikmati kemudahan menggunakan e-dompet atau aplikasi perbankan tempatan mereka di ekosistem global Alipay+ yang merangkumi 100 juta peniaga, memperluas capaian DuitNow QR ke peringkat antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif PayNet Farhan Ahmad berkata MoU ini bukan sahaja akan memperluas penerimaan global terhadap DuitNow, malah membuka jalan kepada kerjasama yang lebih erat dalam menangani isu penipuan, melahirkan bakat masa depan, dan membina ekosistem pembayaran digital global yang lebih inklusif, mampan dan berdaya tahan.
MoU itu dimeterai semasa acara MyFintech Week 2025, dan disaksikan oleh Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Sri Abdul Rasheed Ghaffour.
Menurut kenyataan tersebut, kemudahan pembayaran itu akan menjadikan Malaysia destinasi yang lebih menarik kepada pelancong, sekali gus menggalakkan perbelanjaan terus kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dan membantu Malaysia mencapai sasaran 45 juta pelancong menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Dengan sokongan infrastruktur daripada PayNet dan jaringan global Ant International, MoU yang diperluas ini akan menyediakan pembayaran yang lancar ketika berada di luar negara sambil menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Melalui usaha memperkukuh kesalinghubungan rentas sempadan, pembangunan bakat masa depan, peningkatan keselamatan digital dan galakan terhadap inovasi yang inklusif, kerjasama ini membentuk asas kukuh ke arah ekonomi digital global yang inklusif dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
–Bernama