Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Pay & Go kendali Sistem Parkir Pintar Kuching mulai 2026
  • Selatan
  • WILAYAH

Pay & Go kendali Sistem Parkir Pintar Kuching mulai 2026

Utusan Sarawak 21 hours ago
JELASKAN… Datuk Wee Hong Seng dan Datuk Hilmy Othman ketika sidang media pengumuman pengendali Sistem Parkir Pintar Kuching di Ibu Pejabat Majlis Bandaraya Kuching Selatan, Kuching hari ini.

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) hari ini mengumumkan pelantikan Pay & Go Sdn Bhd sebagai pengendali baharu Sistem Parkir Pintar bagi kawasan pentadbiran kedua-dua pihak berkuasa tempatan itu.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng, berkata pelantikan tersebut dibuat melalui proses permohonan cadangan (RFP) yang menilai keupayaan teknikal, pengalaman operasi dan kekuatan kewangan syarikat berkenaan.

Katanya, sistem baharu itu akan memasuki fasa percubaan pada 1 November 2025 sebelum beroperasi sepenuhnya pada Januari 2026, menggantikan sistem sedia ada di bawah Kuching City Parking Systems Sdn Bhd (KCPS) yang tamat pada Khamis ini (30 Oktober 2025).

“Tempoh pengendalian ditetapkan selama 10 tahun dengan pilihan lanjutan lima tahun, tertakluk kepada prestasi serta persetujuan bersama,” katanya pada sidang media pengumuman pengendali Sistem Parkir Pintar Kuching di Ibu Pejabat Majlis Bandaraya Kuching Selatan di sini, hari ini.

Menurut Datuk Wee, pelaksanaan Sistem Parkir Pintar ini dijangka mempertingkat kemudahan pengguna melalui kaedah pembayaran tanpa tunai dan tanpa sentuh, di samping menambah kecekapan penguatkuasaan serta ketelusan dalam pengurusan hasil PBT.

Beliau turut memberi jaminan bahawa kadar caj parkir tidak akan berubah semasa tempoh percubaan, termasuk bagi parkir bermusim dan parkir tempahan khas.

“Tempoh ini akan memberi ruang bagi memastikan peralihan berjalan lancar dan pengguna dapat menyesuaikan diri dengan sistem baharu,” katanya.

RASMIKAN… Datuk Wee Hong Seng bersama Datuk Hilmy Othman menyempurnakan gimik pelantikan. 

Datuk Wee berkata, kempen kesedaran awam akan dijalankan oleh kedua-dua pihak berkuasa tempatan bagi memaklumkan cara pendaftaran dan penggunaan aplikasi Pay & Go, termasuk melalui media sosial rasmi DBKU dan MBKS.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Hilmy Othman, menyifatkan pelaksanaan sistem berkenaan sebagai satu langkah besar ke arah menjadikan Kuching sebuah bandar raya lebih moden, cekap dan berpaksikan teknologi.

“DBKU menyambut baik pelantikan Pay & Go sebagai pengendali baharu Sistem Parkir Pintar, seperti yang diumumkan oleh Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (MPHLG).

“Inisiatif ini turut menunjukkan komitmen kementerian dalam memperkukuh kerjasama antara DBKU dan MBKS sebagai penyedia perkhidmatan di bawah sistem baharu ini,” katanya.

Beliau menjelaskan, sistem itu akan menampilkan teknologi moden seperti aplikasi mudah alih Pay & Go berasaskan GPS, notis parkir kod QR, serta kamera pengecaman nombor pendaftaran (LPR) yang dipasang pada motosikal dan kenderaan penguat kuasa.

“Kami yakin sistem ini akan meningkatkan kemudahan pengguna, memperkukuh penguatkuasaan, dan memastikan ketelusan hasil kutipan parkir,” ujarnya.

UNTUK ALBUM… Datuk Wee Hong Seng dan Datuk Hilmy Othman bersama wakil daripada Pay & Go Sdn. Bhd. bergambar bersama selepas selesai sidang media pengumuman pengendali Sistem Parkir Pintar Kuching di Ibu Pejabat Majlis Bandaraya Kuching Selatan, di Kuching, hari ini.

Datuk Hilmy turut memuji langkah kementerian memperkenalkan tempoh pengendalian selama 10 tahun yang disifatkan sebagai satu rangka kerja mampan bagi membangunkan sistem pengurusan parkir moden berasaskan data serta sejajar dengan aspirasi Bandar Pintar Sarawak.

“Melalui inovasi dan kerjasama ini, kita bukan sahaja mempertingkat kemudahan parkir dan kecekapan operasi, tetapi turut membina asas kepada mobiliti bandar yang lebih pintar, keputusan berasaskan data serta persekitaran lebih hijau dan mampan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa DBKU, MBKS serta kementerian berkaitan akan memantau rapi pelaksanaan peringkat percubaan bagi memastikan kelancaran dan komunikasi yang baik dengan orang awam.

“Dengan sokongan semua pihak, kita yakin Kuching akan terus mara ke arah masa depan yang lebih pintar, efisien dan bertaraf dunia,” katanya.

Oleh Shahrul Qaizat

Continue Reading

Previous: Khidmat Bergerak dekati rakyat Miri
Next: Projek bekalan air Batang Lassa alami kelewatan akibat bantahan tapak loji

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.