
LIMBANG: Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Limbang berperanan sebagai pusat yang menyokong konsep penuaan aktif dalam kalangan komuniti setempat.
Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Limbang, Abang Ahmad Ibrahim Abang Abdul Rahman, berkata warga emas bukan golongan yang dipinggirkan.
“Sebaliknya, mereka ialah golongan yang kaya dengan pengalaman, pengetahuan dan nilai hidup yang berharga.
“Melalui aktiviti sosial, rekreasi, kesihatan dan kebudayaan seperti ini, warga emas dapat kekal cergas, bersemangat serta berinteraksi antara satu sama lain,” katanya pada Program Sambutan PraTahun Baharu Cina PAWE Limbang baru-baru ini.

Abang Ahmad berkata, JKM Limbang komited memastikan kebajikan warga emas terus terbela.
“Usaha ini bukan sahaja tertumpu kepada bantuan kebajikan semata-mata, tetapi juga kepada peningkatan kualiti hidup, sokongan emosi serta peluang untuk terlibat secara aktif dalam komuniti,” ujarnya.
Beliau menambah bahawa PAWE memainkan peranan penting sebagai platform yang mendekatkan perkhidmatan kebajikan dengan komuniti setempat.
Menurutnya, Program Sambutan PraTahun Baharu Cina PAWE Limbang memberi makna mendalam serta membuka peluang kepada ahli PAWE yang berlatarbelakangkan kepelbagaian budaya dan agama untuk bersama-sama meraikannya.
“Tahun Baharu Cina melambangkan permulaan dan harapan baharu serta doa untuk kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan.
“Perayaan ini disambut bersama tanpa mengira perbezaan kaum dan agama, sekali gus melambangkan perpaduan utuh, keharmonian dan semangat kekitaan yang erat,” katanya lagi.
Turut hadir Pengerusi PAWE Limbang, Penghulu Ang Chiw Kiam.
Oleh Adeng Edrus