Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • PAWE Dalat terima 1,120 ahli berdaftar setakat Julai 2025
  • Tengah
  • WILAYAH

PAWE Dalat terima 1,120 ahli berdaftar setakat Julai 2025

Utusan Sarawak 16 hours ago
DATO Sri Fatimah Abdullah pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Dwi Tahunan PAWE Dalat 2025-2027, di Kompleks Kebajikan Dalat, hari ini.
Foto UKAS

DALAT: Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Dalat terus menerima sambutan yang menggalakkan daripada komuniti setempat apabila jumlah keahlian berdaftar telah mencecah 1,120 orang setakat Julai 2025.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, berkata daripada jumlah tersebut, seramai 505 ahli merupakan lelaki dan 615 wanita, menunjukkan penyertaan aktif daripada kedua-dua jantina.

“Penubuhan PAWE adalah satu langkah yang proaktif dalam memperkukuhkan kesejahteraan warga emas di daerah Dalat yang berperanan sebagai platform berstruktur bagi warga emas menjalankan aktiviti harian dalam komuniti setempat.

“Di samping itu, ia menyediakan perkhidmatan berbentuk pendampingan sosial yang menyokong kesejahteraan emosi, mental dan social golongan tersebut,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Dwi Tahunan PAWE Dalat 2025-2027, di Kompleks Kebajikan Dalat, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat turut menggesa agar kemudahan yang disediakan di PAWE digunakan secara optimum agar setiap ahli memperoleh manfaat sepenuhnya daripada pusat tersebut.

Beliau turut menekankan pentingnya kerjasama dalam kalangan ahli PAWE bagi memupuk semangat kekeluargaan, mengeratkan silaturahim serta membentuk komuniti yang saling menyokong antara satu sama lain.

Sementara itu, menurutnya lagi, selain penubuhan PAWE, kerajaan Sarawak turut melaksanakan pelbagai insentif lain bagi meningkatkan kesejahteraan warga emas.

Jelas beliau, antara inisiatif yang disediakan termasuklah Bantuan Warga Emas (BWE), kemudahan penjagaan di Rumah Seri Kenangan (RSK) di Kuching dan Sibu, Kenyalang Gold Card (KGC), Bantuan Ihsan Kematian (BIK) serta Manfaat Kesihatan Warga Emas (SCHB) yang memberi manfaat kesihatan kepada golongan warga emas.

Sehubungan itu, beliau juga menekankan kepentingan warga emas untuk sentiasa aktif secara fizikal melalui aktiviti senaman ringan yang sesuai dengan tahap kemampuan masing-masing.

Turut hadir Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Dalat Jacquiline Ebby Ramli, Pengerusi PAWE Dalat Moses Dominic Atong, Pakar Dementia Hospital Umum Sarawak, Dr. Shakilone Tharmaseelan serta Timbalan Ketua Cawangan DUN Dalat Sait Seman. -UKAS

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: DOSH findings show Tagada ride at Kuching Food Festival has no valid certificates of fitness
Next: Tokong Fo Guang See, Dewan Yuanchen pacu perpaduan komuniti Beliong

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.